Klinik, hospital di Kelantan, Terengganu terjejas akibat banjir, kata KP Kesihatan


Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh dimasuki air semalam. – Gambar Facebook, 20 Disember, 2022.

DUA hospital kerajaan di Kelantan dan empat di Terengganu terjejas akibat banjir yang melanda kedua-dua negeri berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Fasiliti kesihatan berkenaan ialah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tengku Anis (HTA) di Kelantan manakala di Terengganu melibatkan Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan di HRPZ II masih beroperasi seperti biasa walaupun bangunan hospital dimasuki air.

Beliau berkata perkhidmatan makmal dan perkhidmatan pengimejan dan diagnostik di HTA pula diberhentikan sementara waktu.

“Penutupan bekalan kuasa dalaman dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan akibat litar pintas,” katanya sebarang keperluan perkhidmatan tersebut akan dirujuk ke hospital berdekatan iaitu HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dr Noor Hisham berkata seramai 19 pesakit di HTA dipindahkan ke HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia kerana dikhuatiri paras air banjir meningkat pada bila-bila masa.

Mengenai situasi hospital yang terjejas di Terengganu pula, Dr Noor Hisham berkata peningkatan paras air akibat banjir menyebabkan limpahan air ke dalam ruang Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin di Hospital Kemaman pada malam 18 Disember namun surut keesokan paginya.

Beliau berkata peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara.

“Bagaimanapun, hospital-hospital ini bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan, dan pakai buang yang mencukupi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 32 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Kelantan iaitu 22 klinik desa dan 10 klinik kesihatan.  

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh fasiliti kesihatan masih beroperasi, 22 pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan tiga tidak beroperasi.

Beliau berkata sebanyak 40 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Terengganu iaitu 27 klinik desa, lima klinik kesihatan, empat klinik pergigian, tiga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), dan satu Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan 15 tidak beroperasi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengesan lebih 500 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tempoh 7 November sehingga semalam (19 Disember).

Ia meliputi 301 kes jangkitan saluran pernafasan akut, penyakit kulit (260 kes), Acute Gastroentritis (14), konjunktivitis (11), dan satu kes cacar air.

“Tiada kes tifoid, kolera, leptospirosis, dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir,” kata beliau dan hanya satu kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu bagi tempoh 11 Disember hingga 19 Disember, dan individu itu juga tamat isolasi pada 18 Disember.

Setakat 12 tengah hari ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan seramai 65,139 orang menjadi mangsa banjir di 20 daerah di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 38,806 orang, diikuti Kelantan (25,353), Pahang (873), Perak (54) dan Johor melibatkan 53 mangsa. – Bernama, 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen