JOHNNY Depp dan Amber Heard telah menyelesaikan kes mereka pada Isnin, dengan aktres itu bersetuju membayar bekas suaminya AS$1 juta atas tuduhan beliau menderanya secara fizikal.
Dalam satu hantaran di Instagram, Heard berkata beliau membatalkan rayuan terhadap denda AS$10 juta yang diarahkan oleh juri kerana beliau “tidak mampu” mengharungi perbicaraan lain lagi.
“Selepas berbincang panjang lebar saya telah buat keputusan yang sangat sukar untuk menyelesaikan kes fitnah itu,” katanya.
“Saya buat keputusan ini kerana hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan Amerika Syarikat, di mana testimoni saya dijadikan bahan hiburan dan media sosial,” kata wanita berusia 36 tahun itu.
“Kini, akhirnya saya ada peluang untuk membebaskan diri saya daripada sesuatu yang saya cuba tinggalkan lebih enam tahun lalu dan dengan syarat yang saya boleh bersetuju,” katanya.
“Saya tidak membuat sebarang pengakuan. Ini bukan tindakan konsesi.”
Dalam pertarungan undang-undang yang melibatkan saman dan saman balas, juri Virginia mendapati Depp dan Heard kedua-duanya bertanggungjawab atas fitnah – tetapi lebih berpihak kepada bintang “Pirates of the Carribean” itu berikutan perbicaraan sengit selama enam minggu atas tuduhan penderaan domestik yang dipertikaikan.
Juri memberikan ganti rugi AS$10.35 juta kepada Depp, dan AS$2 juta kepada Heard.
Peguam Depp yang berusia 59 tahun pada Isnin memuji penyelesaian itu.
“Kami berbesar hati untuk secara rasmi menutup pintu pada bab yang menyakitkan ini untuk Encik Depp, yang menjelaskan sepanjang proses ini bahawa keutamaannya adalah untuk mengangkat kebenaran,” kata peguam Benjamin Chew dan Camille Vasquez.
“Keputusan sebulat suara juri dan keputusan yang memihak kepada Encik Depp terhadap Cik Heard kekal sepenuhnya.
“Pembayaran sebanyak AS$1 juta – yang Encik Depp janji akan didermakan kepada badan amal – mengukuhkan pengakuan Cik Heard terhadap kesimpulan usaha keras sistem undang-undang untuk keadilan.” – AFP, 20 Disember, 2022.
Komen