JURI mahkamah di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendapati Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard bertanggungjawab atas fitnah—tetapi lebih berpihak kepada bintang “Pirates of the Caribbean” itu selepas perbicaraan sengit berhubung dakwaan penderaan rumah tangga yang menjadi pertikaian.
Keputusan itu menyempurnakan perbicaraan enam minggu yang sengit dengan saling mendakwa antara dua selebriti Hollywood itu.
Tujuh juri di Virginia menganugerahkan pelakon berusia 58 tahun itu ganti rugi AS$15 juta selepas mendapati artikel pada 2018 yang ditulis oleh Heard mengenai pengalamannya mengenai “keganasan seksual” adalah memfitnah Depp.
Heard yang tunduk mendengar tanpa suara ketika keputusan dibacakan di mahkamah Fairfax, berdekatan ibu negara AS—dan kemudian berkata kecewa dengan keputusan itu.
Depp, yang mengikuti prosiding dari United Kingdom, sementara itu menyiarkan kenyataan di Instagram yang juri memberi hidupnya kembali.
Dalam artikel disiarkan di The Washington Post, Heard menggambarkan dirinya sebagai “tokoh yang mewakili penderaan rumah tangga”—dan walaupun tidak menamakan Depp dalam tulisan itu, beliau menyamannya kerana menggambarkannya seorang pendera, menuntut ganti rugi RM$50 juta.
Heard, 36, memagang watak utama dalam filem “Aquaman,” menuntut balas sebanyak RM$100 juta dengan mendakwa beliau difitnah oleh kenyataan yang dibuat oleh peguam Depp, Adam Waldman, yang memberitahu Daily Mail dakwaan penderaan itu adalah palsu.
Juri bersetuju Heard difitnah oleh kenyataan tersebut, dan turut memberikan ganti rugi kepadanya—tetapi pada jumlah yang jauh lebih rendah, AS$2 juta.
Puluhan saksi memberi keterangan semasa perbicaraan, termasuk pengawal peribadi, eksekutif Hollywood, ejen, pakar industri hiburan, doktor, rakan dan saudara mara.
Depp dan Heard menghabiskan berhari-hari di kandang saksi semasa perbicaraan disiarkan di televisyen, yang dihadiri ratusan peminat bintang “Pirates” dan diiringi kempen #JusticeForJohnnyDepp di media sosial.
Heard, yang berkahwin dengan Depp dari 2015 hingga 2017, memperoleh perintah sekatan terhadapnya pada Mei 2016, dengan alasan keganasan rumah tangga.
Depp, calon Oscar tiga kali, memfailkan saman libel di London terhadap tabloid British The Sun kerana memanggilnya “pemukul isteri.” Beliau kalah kes itu pada November 2020.
Kedua-dua pihak menuntut kerosakan terhadap kerjaya Hollywood mereka. – AFP, 2 Jun, 2022.
Komen