PERDANA Menteri Belanda Mark Rutte pada Isnin secara rasmi memohon maaf atas penglibatan negara itu selama 250 tahun dalam perhambaan, menyebutnya sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”.
Permohonan maaf itu dibuat hampir 150 tahun selepas tamatnya perhambaan di tanah jajahan seberang laut negara Eropah itu, termasuk Suriname dan pulau-pulau seperti Curacao dan Aruba di Caribbean dan Indonesia di Timur.
“Hari ini bagi pihak kerajaan Belanda, saya memohon maaf atas tindakan masa lalu negara Belanda,” kata Rutte dalam ucapan di The Hague.
“Kami, yang tinggal di sini dan sekarang, hanya boleh mengiktiraf dan mengutuk perhambaan dalam istilah yang paling jelas sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Para menteri Belanda pergi ke tujuh bekas jajahan di Amerika Selatan dan Caribbean berhubung perkara itu.
Sigrid Kaag, menteri kewangan Belanda dan timbalan perdana menteri berkata dalam lawatan rasmi ke Suriname minggu lalu yang proses akan bermula menjurus kepada satu lagi tempoh amat penting pada 1 Julai tahun depan.
Waris perhambaan Belanda akan memperingati 150 tahun pembebasan yang dikenali sebagai “Keti Koti” (memutuskan rantaian) dalam bahasa Suriname.
Bagaimanapun, rancangan itu menimbulkan kontroversi dengan kumpulan dan beberapa negara terjejas mengkritik langkah itu sebagai tergesa-gesa, dan berkata ketiadaan rundingan oleh Belanda menunjukkan sikap penjajah.
Tetapi Rutte dalam ucapannya pada Isnin berkata pemilihan masa yang sesuai adalah perkara rumit.
“Tidak ada masa yang sesuai untuk semua orang, tiada satu perkataan yang sesuai untuk semua orang, bukannya satu tempat yang sesuai untuk semua orang,” katanya.
Didorong oleh pergerakan Black Lives Matter di Amerika Syarikat, ia juga mencetuskan persoalan isu perkauman dalam masyarakat Belanda.
Tekanan semakin meningkat dengan bandar Amsterdam, Rotterdam, The Hague dan Utrecht secara rasmi meminta maaf berhubung perdagangan hamba.
Rutte sekian lama menentang, sebelum ini berkata tempoh perhambaan sudah terlalu jauh dan permohonan maaf akan mencetuskan ketegangan di negara yang golongan sayap kanan masih kuat.
Beliau kini menukar taktik, tetapi itu tidak menggembirakan semua orang. – AFP, 19 Disember, 2022.
Komen