Mahkamah tolak permohonan polis, kerajaan batal saman ibu model Belanda


Ivana Esther Robert Smit ditemukan mati di balkoni tingkat enam CapSquare Residence, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017. – Gambar Instagram, 7 Disember, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan polis dan kerajaan Malaysia membatalkan saman difailkan ibu kepada Ivana Esther Robert Smit berkait kematian model Belanda itu pada 2017.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain ketika membacakan keputusan pada prosiding pagi tadi berkata saman tersebut tidak boleh diketepikan kerana ia melibatkan persoalan serius yang memerlukan perbicaraan penuh.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar kos RM5,000 dan menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

Ibu mendiang Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, diwakili peguam S N Nair.

Verstappen memfailkan saman pada November 2020 terhadap ketua polis negara dan tiga yang lain atas dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab dan cuai ketika menjalankan siasatan kematian anak perempuannya.

Mayat Smit ditemui di balkoni tingkat enam CapSquare Residence, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017.  Model berusia 18 tahun itu terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Pada 18 Mac 2019 Mahkamah Koroner memutuskan kematian Smit disebabkan misadventure (kematian disebabkan tindakan seseorang akibat kemalangan tanpa sebarang kecuaian atau niat untuk mencederakan).

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada 22 November 2019  membenarkan permohonan semakan keluarga Smit bagi membatalkan keputusan Mahkamah Koroner.

Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati kematian Smit adalah disebabkan oleh “individu yang dikenali atau tidak dikenali” mangsa.

Pada 21 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan saman dikemukakan ibu Smit atas alasan ia tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Mahkamah Rayuan pada 7 Februari lalu membenarkan rayuan Verstappen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya. – 7 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen