PERJANJIAN kerajaan perpaduan yang dimeterai gabungan politik yang membentuk kerajaan semalam, membayangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak yakin dengan sokongan terhadapnya, kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Perjanjian itu juga melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, katanya kerana mensyaratkan ahli Dewan Rakyat hilang kelayakan jika tidak mengundi menyokong usul yang melibatkan keabsahan kerajaan.
“Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya perdana menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Muhyiddin syarat perjanjian antara gabungan politik kerajaan itu bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki ahli-ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi apabila mereka melompat parti.
“Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat,” katanya.
Jelas Muhyiddin, perkara itu juga sudah dijelaskan oleh jawatankuasa pilihan khas menimbangkan undang-undang antilompat parti dalam laporannya kepada Parlimen.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Semalam, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Parti Warisan Sabah (Warisan) memeterai perjanjian kerjasama membentuk kerajaan perpaduan, yang antara lain bertujuan memastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri.
Melalui perjanjian itu juga semua gabungan dan parti politik juga perlu memastikan semua ahli Parlimen masing-masing mengundi menyokong perdana menteri atas apa saja usul yang melibatkan keabsahan kerajaan.
Kegagalan berbuat demikian dianggap meletak jawatan dan perlu mengosongkan kerusi di Dewan Rakyat yang membawa kepada pilihan raya semula.
Muhyiddin juga bimbang perjanjian ini akan membuka jalan untuk memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat kerajaan pimpinan PH mengundi usul dan rang undang-undang lain pada masa akan datang.
Ini termasuk pindaan perlembagaan, katanya, ketika Anwar mendakwa mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat.
“Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.
“Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik,” tambahnya.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin dari PN juga menganggap perjanjian berkenaan sebagai ‘haram, tidak berperlembagaan, merbahaya dan tidak boleh diperkuatkuasakan’.
Katanya, perjanjian itu jalan awal menuju era kediktatoran kerana pemaksaan ke atas ahli parlimen seperti itu tiada dalam sistem demokratik Malaysia sebaliknya mirip sistem di Korea Utara dan China. – 17 Disember, 2022.
Komen