MoU Pakatan-BN tidak berperlembagaan, tiada tempat dalam sistem demokrasi


PADA 16 Disember 2022, parti politik yang membentuk kerajaan PH-BN telah secara umum menandatangani satu MoU.

Klausa 4 MoU tersebut menyatakan kesemua ahli parlimen wajib menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan PH-BN.

Menurut Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana ahli parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

Kami sentiasa akan menyokong sebarang ikhtiar untuk memastikan wujud kerajaan yang stabil, tetapi tidak dengan cara membelakangi perlembagaan dan undang-undang. 

Perjanjian ini adalah haram, tidak berperlembagaan, merbahaya dan tidak boleh diperkuatkuasakan. Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara ahli parlimen mengundi. Tidak ada apa-apa perkara seperti itu dalam Artikel 49A. Ia hanya menrangkumi situasi di mana seseorang ahli parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

Jawatankuasa pilihan khas menimbang rang undang-undang perlembagaan mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah menyatakan pada 18 Julai 2022 bahawa mana-mana ahli parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya bawah Artikel 49A. Ini boleh didapati pada perenggan 21.4 Laporan jawatankuasa pilihan tersebut.

Tidak mungkin Anwar Ibrahim dan pimpinan Umno tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini.

Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut ahli parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti, walaupun ia membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen.

Perlembagaan Persekutuan serta laporan jawatankuasa pilihan ini adalah jelas. Anwar dan parti-parti kerajaan tidak boleh bergantung pada Artikel 49A untuk ugut ahli parlimen untuk mengundi bagi menyokong Anwar sebagai PM pada 19 Disember atau selepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan.

Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana ahli parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana beliau rasa betul demi kepentingan pengundi beliau. 

Ini juga jelas dalam keputusan Mahkamah Agung dalam kes Datuk Ong Kee Hui v Sinyium Anak Mutit (1983) 1MLJ 36.

Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap ahli parlimen dari parti-parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator. Despotisme jenis baru ini tidak pernah disaksikan sebelum ini dalam sejarah politik atau parlimen Malaysia.

Pemaksaan ahli parlimen untuk mengundi menurut arahan adalah sama seperti dalam sistem di Korea Utara, atau China. Ia tiada tempat dalam sistem demokratik Malaysia.

MOU yang dijana oleh Anwar dan PH-BN ini akan disemadikan selamanya sebagai titik hitam dalam sejarah negara dan tindakan subversif terhadap demokrasi berparlimen serta struktur asas perlembagaan.

Kami menyeru semua ahli Dewan Rakyat dari parti kerajaan untuk tidak rasa takut dalam menjalankan tanggungjawab mereka semata-mata kerana kewujudan perjanjian haram ini.

Menurut Artikel 49A, kamu tidak akan hilang kerusi semata-mata kerana mengundi berdasarkan pertimbangan sendiri.

Kami menyeru juga kesemua ahli parlimen untuk mengundi menurut apa yang benar dan baik untuk negara ini dan rakyat, serta berdasarkan nurani (conscience).

Ini adalah satu ancaman yang paling berbahaya terhadap demokrasi Malaysia sejak kebelakangan ini, dan kami berharap semua ahli parlimen akan membuat satu pendirian yang berani terhadap despotisme baru ini.

Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga tragedi tanah runtuh di Batang Kali. – 17 Disember, 2022.

*Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Naib Ketua Srikandi Bersatu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen