Gabungan politik meterai persefahaman kukuhkan kerajaan perpaduan


Pemimpin Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Pari Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan hari ini mengikat janji kerjasama bagi membentuk kerajaan perpaduan. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 16 Disember, 2022.

EMPAT gabungan dan sebuah parti politik hari ini memeterai perjanjian kerjasama membentuk kerajaan perpaduan, yang antara lain bertujuan memastikan Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri.

Empat gabungan dan parti politik itu ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Perjanjian ditandatangani pimpinan tertinggi masing-masing iaitu Anwar mewakili PH, Ahmad Zahid Hamidi (BN), Abang Johari Abang Openg (GPS), Hajiji Noor (GRS), dan Mohd Shafie Apdal (Warisan).

Perjanjian disaksikan setiausaha agung masing-masing iaitu Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH, Zambry Ab Kadir (BN), Alexander Nanta Linggi (GPS), Marsidi Manjun (GRS) dan Loretto S Padua Jr (Warisan).

PH disertai empat anggota gabungan – PKR, DAP, Amanah, dan UPKO – serta Muda, yang menyertai gabungan melalui satu perjanjian kerjasama berasingan.

BN pula dibentuk oleh Umno, MCA, MIC, dan PBRS; GPS oleh PBB, SUPP, PRS, dan PDP, manakala GRS oleh PBS, SAPP, Star, dan Usno.

Melalui perjanjian itu, antara lain, semua gabungan dan parti politik bersetuju menyokong perdana menteri dalam apa saja usul di Dewan Rakyat yang memberi kesan kepada keabsahan kerajaan.

Mereka juga perlu memastikan semua ahli parlimen masing-masing mengundi menyokong perdana menteri, dan kegagalan berbuat demikian dianggap letak jawatan dan perlu mengosongkan kerusi di Dewan Rakyat yang membawa kepada pilihan raya semula.

Semua gabungan dan parti politik yang berkenaan juga bersetuju menubuhkan sebuah majlis perundingan yang diwakili bersama, yang akan memastikan semua pihak mematuhi perjanjian.

Sehari selepas mengangkat sumpah perdana menteri, Anwar berkata kerajaan pimpinannya mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat atau sekurang-kurang 148 ahli parlimen.

PH mempunyai 82 ahli parlimen, sementara BN 30, GPS 23, GRS 6, dan Warisan 3, menjadikan semuanya 144 orang. Ini tidak termasuk empat wakil rakyat bebas dan parti kecil termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). – 16 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen