SAM Bankman-Fried, pengasas dan bekas ketua pegawai eksekutif pertukaran mata wang kripto FTX, ditahan di Bahamas pada Isnin, lapor UPI memetik kenyataan Daerah Selatan New York (SDNY).
Pihak berkuasa Bahamas menahan Samuel Bankman-Fried atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS), berdasarkan dakwaan tertutup yang difailkan oleh SDNY, kata Peguam AS Damian Williams menerusi ciapan di Twitter petang Isnin.
Bankman-Fried telah ditahan di resortnya di Albany yang terletak di Nassau, Bahamas dan akan hadir bagi perbicaraan di Mahkamah Majistret, Nassau, Bahamas pada Selasa menurut Pasukan Polis Diraja Bahamas.
Bankman-Fried dijangka diekstradisi ke Amerika Syarikat.
Walaupun tidak jelas pertuduhan yang bakal dihadapinya, The New York Times melaporkan pertuduhan jenayah terhadap Bankman-Fried antara lain membabitkan penipuan sekuriti, konspirasi penipuan sekuriti dan pengubahan wang haram.
Bahamas dan Amerika Syarikat mempunyai kepentingan bersama untuk menahan individu yang dikaitkan dengan FTX kerana mengkhianati kepercayaan awam dan melanggar undang-undang, kata Perdana Menteri Bahamas Philip Davis dalam satu kenyataan.
Semasa Amerika Syarikat meneruskan pertuduhan jenayahnya sendiri terhadap Bankman-Fried secara individu, Bahamas akan meneruskan penyiasatan kawal selia dan jenayahnya sendiri terhadap keruntuhan FTX, dengan kerjasama penguatkuasa undang-undang dan rakan kongsi kawal selianya di Amerika Syarikat dan lain-lain.
Bankman-Fried, 30, dijadual hadir secara maya pada Selasa di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan Rumah AS mengenai isu matawang kriptonya.
Jawatankuasa itu menuntut jawapan berhubung punca kejatuhan FTX selepas syarikat itu kehilangan kecairan dan memfailkan muflis bulan lepas, menyebabkan hampir sejuta pengguna tidak dapat mengakses dana mereka.
John Ray III, yang menggantikan Bankman-Fried sebagai CEO FTX bulan lepas, sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejatuhan syarikat itu.
FTX ialah platform dagangan mata wang kripto kedua terbesar di dunia sehingga didedahkan bahawa ia kekurangan dana. – Bernama, 13 Disember, 2022.
Komen