Situasi sudah berubah, Petronas, kata KM Sarawak


Desmond Davidson

Mulai Julai tahun ini, semua syarikat minyak termasuk Petronas tertakluk kepada undang-undang Sarawak untuk beroperasi di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2018.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg berkata Petronas tidak lagi boleh beroperasi seperti biasa bermula Julai ini, menambah yang syarikat petroleum negara itu tidak melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri terbesar Malaysia itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Astro malam ini dalam tindakan kerajaan negeri yang dilihat ingin ‘membebaskan dirinya’ daripada cengkaman Putrajaya menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada April.

“Petronas perlu mengakui hakikat yang hak kami untuk mereka menyelaraskan (operasi) dengan undang-undang kami (Sarawak),” kata ketua menteri itu dalam wawancara dengan Astro Awani.

Malam semalam, pada majlis pelancaran syarikat minyak negeri, Sarawak Petroleum Bhd (Petros) mengatakan menjelang Julai, Sarawak akan mendapat semua kuasa berkaitan industri minyak dan gas di negeri itu.

Seterusnya menyebabkan semua pihak yang mahu beroperasi dalam industri minyak dan gas di Sarawak, termasuk Petronas, perlu mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan kerajaan negeri.

Keperluan undang-undang yang diperlukan itu seperti mana termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 atau Ordinan Pengedaran Gas 2016.

Sebelum ini, Petronas menggunakan kuasa termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menentukan semua aspek industri minyak dan gas di Sarawak.

Petronas melakukan rundingan dan menganugerahkan semua hak kontrak perkongsian (PSC) dan memilih kontraktornya.

Abang Johari mengatakan apabila Sarawak menggunakan hak mereka seperti termaktub dalam perlembagaan berkaitan sumber mineralnya, sesetengah keputusan Petronas tidak lagi boleh dilakukan mereka tanpa kelulusan kerajaan negeri.

Antara keputusan itu termasuklah pemilihan kontraktor.

“Mereka tak boleh lantik kontraktor mereka sendiri lagi. Mereka perlu dapatkan kontraktor dan sub-kontraktor daripada senarai yang berdaftar dengan kami,” katanya merujuk kepada keperluan perundangan terbaru yang akan mengikat tindakan semua syarikat minyak dalam urusan lesen, permit, pajakan dan kelulusan.

Abang Johari turut mengatakan Sarawak tidak pernah berhak terlibat dalam pelantikan kontraktor sebelum ini.

“Kami tak terlibat langsung terutama dalam persoalan penglibatan sektor swasta kami.”

Katanya lagi, walaupun syarikat petroleum negara sudah meraih keuntungan berbilion ringgit, ia tidak menyalurkan wang secukupnya untuk pembangunan negeri.

“Pemahaman (untuk PDA) adalah Petronas akan guna sebahagian perolehannya untuk pembangunan negeri.

“Bertahun lamanya, anda sendiri boleh nampak apa yang berlaku.

“Petronas dapat banyak perolehan tetapi nampaknya, persepsi kami adalah mereka menumpukan perhatian kepada projek mereka di Semenanjung sedangkan negeri bergelut untuk dapat duit bangunkan kemudahan asas kami.

“Walaupun adil untuk berkongsi dengan seluruh negara tetap mereka juga perlu beri peruntukan besar untuk Sarawak.”

Abang Johari turut mengatakan penduduk Sarawak boleh lihat dan berfikir apa yang berlaku.

“Orang Sarawak tengok Menara Berkembar (Petronas) dan orang Sarawak tengok juga semua tindakan selamatkan (entiti tertentu) dilakukan kerajaan persekutuan…dan kami fikir sebahagian duit yang digunakan datang dari Petronas.”

Katanya lagi, Petronas tidak membantu Sarawak secukupnya.

“Ya, mereka ada tapak di Bintulu. Itulah pelaburan mereka dan kami ada pegangan tertentu.

“Tetapi apa yang perlu dilakukan adalah kerja (kontrak) juga perlu diberikan kepada syarikat Sarawak.”

Walaupun berdepan perubahan besar itu, Petronas dalam satu kenyataan mengatakan syarikat itu “komited untuk menyokong aspirasi Sarawak untuk terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas negeri selaras dengan kerangka sedia ada Akta Pembangunan Petroleum”.

Syarikat itu turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak kerana pelancaran Petros dan mengalu-alukan penglibatannya dalam industri, dan Petronas “mahu terus bekerjasama dengan negeri untuk manfaat bersama”. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen



  • Berita

    Seksyen

    Situasi sudah berubah, Petronas, ka
    "KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg berkata Petronas tidak lagi boleh beroperasi seperti biasa bermula Julai ini, menambah yang syarikat petroleum negara itu tidak melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri terbesar Malaysia itu."

    Bukan petronas tapi umno di putrajaya..petronas hanya lah alat umno sahaja..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan