UMNO sedang meneliti senarai ahlinya untuk diambil tindakan kerana terlibat menentang parti pada pilihan raya umum lalu, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.
Mereka ini termasuk jadi calon bebas, pencadang atau penyokong selain kepada calon Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika PRU15, katanya.
“Minta Umno bahagian hantar nama mereka yang menjadi calon selain daripada calon BN dan Umno, termasuk calon Bebas.
“Kita juga meminta nama ahli Umno yg menjadi pencadang dan penyokong bukan kepada ahli Umno dan BN.
“Ia adalah satu pelanggaran etika dan tentunya kita akan mengambil tindakan terhadap senarai itu kemudian,” kata Ahmad, seperti dipetik Astro Awani di Pontian.
Ahmad juga mengesahkan laporan tiga pemimpin Umno bahagian dipecat parti, antaranya bekas ketua Umno Ketereh Annuar Musa.
Katanya, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi turut memecat ketua Wanita Arau Shamsiah Yasin dan ketua Wanita Umno Maran Fatimah Kassim.
Surat pemecatan ketiga-tiga mereka akan dikeluarkan hari ini, tambahnya.
Shamsiah dan Fatimah sebelum ini digantung daripada parti pada 13 November kerana menyokong calon pilihan raya yang menentang parti.
Shamsiah adalah isteri kepada bekas ketua Umno Arau Shahidan Kassim manakala Fatimah isteri kepada bekas ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib.
Suami mereka tidak dicalon semula untuk mewakili BN pada pilihan raya lepas.
Shahidan dan Ismail yang kemudiannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dipecat dari Umno pada 7 November, dua hari selepas penamaan calon.
Umno juga pada masa itu memecat bekas ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dan Azhar Ahmad kerana bertanding sebagai calon bebas. – 9 Disember, 2022.
Komen