Annuar Musa antara 3 pemimpin bahagian dipecat dari Umno


Annuar Musa dipercayai antara tiga pemimpin bahagian yang dipecat daripada Umno tetapi setakat ini belum mengesahkan laporan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2022.

ANNUAR Musa antara tiga pemimpin bahagian Umno yang dipecat dari parti pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi, lapor media.

Ahli MKT Umno Mohd Puad Zarkashi yang bercakap kepada media selepas mesyuarat itu tidak menyebut nama mereka yang dipecat, sebaliknya hanya berkata mereka ialah seorang ketua bahagian dan dua ketua sayap wanita.

Mereka dipecat atas alasan berkempen melawan parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) baru-baru ini.

Annuar, ketua bahagian Umno Ketereh, setakat ini belum mengesahkan laporan berkenaan.

Namun melalui satu tulisan di Facebook berkata beliau sekarang hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar, dipercayai merujuk kepada Umno.

“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak, dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar.

“Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar,” tulisnya, dalam satu hantaran yang disertakan gambar beliau berkempen semasa pilihan raya di Padang Serai.

Annuar antara pemimpin Umno yang tidak dicalonkan semula pada PRU15.

Beliau yang lantang mengkritik kepimpinan Umno dan hala tuju parti selepas PRU14 sebelum ini dipecat daripada jawatan setiausaha agung parti pada Januari 2021. 

Semalam, Annuar mengumumkan akan menggerakkan pertubuhan masyarakat Muafakat Nasional (MN), yang beliau ketuai sebagai presiden.

Badan itu berdaftar sejak 19 September 2019.

MN sebelum ini adalah gagasan kerjasama antara PAS dan Umno yang hasil satu piagam yang dimeterai dua parti itu pada 13 September 2019.

Kerjasama itu terhenti apabila PAS memilih untuk kekal bersama dalam gabungan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin pada PRU15

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di Twitter malam tadi tidak menyebut langsung mengenai pemecatan ini tetapi menyebut keputusan malam tadi adalah keputusan bersama.

“Moga keputusan bersama yang diambil akan membawa kebaikan kepada parti dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Dua pemimpin wanita bahagian yang dipecat dipercayai ketua Wanita Arau Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita Umno Maran Fatimah Kassim.

Mereka sebelum ini digantung daripada parti pada 13 November kerana menyokong calon pilihan raya yang menentang parti.

Shamsiah adalah isteri kepada bekas ketua Umno Arau Shahidan Kassim manakala Fatimah isteri kepada bekas Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib.

Suami mereka tidak dicalon semula untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.

Shahidan dan Ismail yang kemudiannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dipecat daripada Umno pada 7 November, dua hari selepas penamaan calon. 

Umno juga pada masa itu memecat bekas ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dan Azhar Ahmad kerana bertanding sebagai calon bebas. – 9 Disember, 2022.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen