LAPORAN penuh hasil siasatan gangguan perkhidmatan di 16 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada bulan lalu akan didedahkan kepada umum dalam tempoh dua minggu lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata laporan awal selepas siasatan bebas dijalankan oleh WSP Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat bebas, berhubung insiden itu sudah dikemukakan kepada kementerian.
“Prasarana telah melantik satu syarikat bebas untuk melaksanakan siasatan secara telus dan laporan awal sudah diberikan kepada kementerian.
“Laporan penuh pula akan siap dalam tempoh dua minggu lagi dan saya sudah meminta mereka untuk mendedahkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Beliau mengadakan sidang media selepas bertemu dengan pihak pengurusan kanan Prasarana Malaysia Berhad.
Perkhidmatan LRT dari Kelana Jaya ke Ampang Park dihentikan tujuh hari antara 9 hingga 15 November lalu untuk mengenal pasti punca masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, dua pakar syarikat pembuat peralatan dari Kanada dan Dubai datang ke Malaysia bagi mengenal pasti punca permasalahan tersebut.
“Ini masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami masih menyiasat punca sebenar gangguan ini.
“Rapid Rail dibantu oleh pasukan khas pihak pengilang asal OEM dari Toronto, Kanada akan mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek merangkumi ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada.
“Justeru, Prasarana mengambil keputusan menggantung perkhidmatan dari LRT Kelana Jaya ke Ampang Park selama tujuh hari bermula 9 Nov selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang, tempoh mengenal pasti punca gangguan serta sesi ujian perkhidmatan,” katanya.
Loke mengadakan pertemuan dengan Prasarana dua hari selepas meninjau sendiri operasi LRT laluan Kelana Jaya secara bersendirian tanpa diiringi pegawai syarikat itu atau media.
Semasa kempen pilihan raya yang baru lalu, Loke berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah pengangkutan awam sekiranya Pakatan Harapan (PH) terpilih sebagai kerajaan.
Loke adalah juga menteri pengangkutan pentadbiran PH antara Mei 2018 hingga Februari 2020.
Beliau membuat janji itu pada hari ratusan ribu pengguna di Lembah Klang terjejas selepas perkhidmatan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya digantung untuk tempoh seminggu.
Insiden itu kemuncak pelbagai rungutan umum mengenai perkhidmatan itu selama ini, daripada soal kesesakan dan terpaksa menunggu lama pada waktu puncak sehinggalah kepada soal keselesaan di stesen terutamanya kemudahan tangga bergerak dan lif. – 8 Disember, 2022.
Komen