Anthony Loke tinjau LRT pada waktu puncak


Menteri Pengangkutan Anthony Loke (berkemeja biru muda, bertopi dan memakai pelitup muka hitam) berkata keadaan cukup sesak di dalam tren LRT semasa beliau membuat tinjauan sendiri antara pukul 5 hingga 7 petang tadi. – Gambar Facebook Anthony Loke, 5 Disember, 2022.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke meluangkan masa dua jam petang tadi meninjau sendiri tahap perkhidmatan LRT di Lembah Klang. 

Semasa kempen pilihan raya yang baru lalu, Loke berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah pengangkutan awam sekiranya Pakatan Harapan (PH) terpilih sebagai kerajaan.

Loke membuat tinjauan itu bersendirian, antara pukul 5 hingga 7 petang, tanpa pihak media dan pengurusan Prasarana Malaysia Berhad, syarikat pengendali pengangkutan awam rel dan bas.

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa  yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT,” katanya dalam satu hebahan di Facebook.

Loke menyertakan beberapa gambar yang dirakamkan semasa tinjauannya itu.

Menurut Loke, beliau akan bermesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana minggu ini juga untuk membincangkan hala tuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.

Loke adalah juga menteri pengangkutan pentadbiran PH antara Mei 2018 hingga Februari 2020.

Loke membuat janji untuk menyelesaikan isu LRT dan pengangkutan awam pada hari ratusan ribu pengguna di Lembah Klang terjejas selepas perkhidmatan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya digantung untuk tempoh seminggu.

Prasarana pada masa itu memaklumkan pihak juruteranya tidak dapat mengesan punca kerosakan dan terpaksa menunggu ketibaan pakar dari luar negara.

Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada masa itu terjejas enam hari.

Ia adalah kemuncak daripada pelbagai rungutan umum mengenai perkhidmatan itu selama ini, daripada soal kesesakan dan terpaksa menunggu lama pada waktu puncak sehinggalah kepada soal keselesaan di stesen terutamanya kemudahan tangga bergerak dan lif.

Semasa jadi menteri dalam pentadbiran PH, Loke juga pernah beberapa kali menggunakan perkhidmatan LRT termasuk untuk menghadiri majlis sebagai menteri pengangkutan. – 5 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen