GANGGUAN perkhidmatan LRT Kelana Jaya akan berterusan sehingga suku ketiga tahun depan kerana kerja-kerja baik pulihnya hanya dijangka siap sebelum tempoh itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau membayangkan pengguna perkhidmatan laluan rel itu di Lembah Klang boleh menjangkakan gangguan tidak berjadual untuk beberapa bulan lagi sehingga hujung September 2023.
“Disebabkan itu, saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia, kerana gangguan ini dijangka berterusan sehingga suku ketiga 2023.
“Kami melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan gangguan ini tidak berlaku dengan kerap tetapi setakat ini, perkhidmatan kami tidak stabil sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Beliau mengadakan sidang media selepas bertemu dengan pihak pengurusan kanan Prasarana Malaysia Berhad.
Menurut Loke, pada masa ini hanya 38 set tren dalam operasi daripada keseluruhan 56 set yang ada kerana 18 set sedang diselenggara.
Kekurangan set tren itu antara punca kekerapan tren kebelakangan ini pada setiap lima minit walaupun pada waktu puncak.
“Sebaik sahaja 18 tren itu kembali beroperasi, selang antara tren akan dikurangkan kepada tiga minit, katanya.
Loke mengadakan pertemuan dengan Prasarana dua hari selepas meninjau sendiri operasi LRT laluan Kelana Jaya secara bersendirian tanpa diiringi pegawai syarikat itu atau media.
Semasa kempen pilihan raya yang baru lalu, Loke berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah pengangkutan awam sekiranya Pakatan Harapan (PH) terpilih sebagai kerajaan.
Loke adalah juga menteri pengangkutan pentadbiran PH antara Mei 2018 hingga Februari 2020.
Beliau membuat janji itu pada hari ratusan ribu pengguna di Lembah Klang terjejas selepas perkhidmatan 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya digantung untuk tempoh seminggu.
Insiden itu kemuncak pelbagai rungutan umum mengenai perkhidmatan itu selama ini, daripada soal kesesakan dan terpaksa menunggu lama pada waktu puncak sehinggalah kepada soal keselesaan di stesen terutamanya kemudahan tangga bergerak dan lif. – 8 Disember, 2022.
Komen