Menang tak menang semua, kalah tak kalah semua


Fakhrurrazi Rashid

Ada segelintir rakyat sukar menerima kenyataan senarai menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana disifatkan bertentangan dengan harapan ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

“MENANG tak menang semua, kalah tak kalah semua”.

Ini reaksi awal saya apabila melihat senarai jemaah menteri kerajaan perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ada juga berpandangan Kabinet ini “yang menang kalah semua, yang kalah menang semua”. 

Bermaksud, pihak yang kalah dapat jawatan menteri yang banyak, manakala parti yang menang mendapat jawatan menteri yang lebih kecil. 

Walau apapun, politik Malaysia boleh dikatakan lebih terbuka apabila rakyat mengikuti rapat setiap proses dan isu-isu berkenaan pembentukan Kabinet yang sebelum ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.

Namun, ada juga segelintir rakyat sukar menerima kenyataan senarai menteri yang diumumkan kerana bertentangan dengan harapan ditetapkan.  

Isu berkaitan pembentukan menteri Kabinet kali ini atas dua perkara.

Pertama, pelantikan Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno sebagai timbalan perdana menteri.

Rakyat mempertikaikan keputusan tersebut memandangkan Zahid masih berhadapan kes mahkamah dan boleh menjejaskan integriti kerajaan perpaduan. 

Kedua, keputusan perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan dalam Kabinet turut mendapat reaksi negatif daripada rakyat, khasnya badan masyarakat sivil dan badan pemikir seperti Bersih dan Ideas.

Amalan ini seolah-olah memberi kuasa besar kepada perdana menteri dan membuka ruang kepada salah guna kuasa dan rasuah, seperti yang berlaku dalam pentadbiran Najib Razak. 

Kembali kepada asas

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan jemaah menteri hari ini berdasarkan senarai yang diberi oleh gabungan parti yang membentuk kerajaan Persekutuan dan ia bukan keputusan tunggal perdana menteri.

Soalnya, sejauh manakah pembentukan Kabinet ini benar kukuh dan mampu mengekalkan sokongan di Parlimen?

Untuk memahami situasi ini, kita perlu kembali kepada prinsip asas pembentukan menteri Kabinet itu sendiri.

Asas pembentukan Kabinet bergantung kepada keperluan perdana menteri untuk menubuhkan pasukan yang mampu melaksanakan dasar dan keputusan dibuat secara kolektif.

Realitinya, perdana menteri memerlukan Kabinet yang efektif dan kukuh untuk mengekalkan kepercayaan Parlimen untuk menjalankan tugas.

Tanpa Kabinet yang kukuh, sudah pasti perdana menteri akan tempang di luar atau dalam Parlimen. 

Memandangkan tiada satu pun gabungan parti mempunyai majoriti 112 kerusi di Dewan Rakyat, formula tolak-ansur antara gabungan parti dan perdana menteri menjadi kunci utama penyusunan Kabinet dapat diselesaikan segera.

Menteri Kabinet hari ini dibarisi kebanyakan pemimpin kanan gabungan parti.

Formula ini berdasarkan asas bahawa ketua-ketua parti ini mampu mendisplinkan ahli Parlimennya agar tidak berganjak ke blok lain yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

Ini juga sebab mengapa Zahid perlu berada dalam kerajaan untuk mengawal sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional meskipun berdepan dengan kes rasuah. 

Meskipun secara idealistiknya, individu terpalit dengan masalah integriti ini tidak sepatutnya berada dalam jemaah menteri. 

Dalam keadaan getir ini, Anwar berjaya membentuk sebuah Kabinet yang jumlahnya lebih kecil berbanding pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Struktur kementerian juga tidak diubah banyak, membolehkan penjawat awam tidak perlu membazir masa membuat kerja pentadbiran bagi tujuan penstrukturan semula jabatan mahupun kementerian. 

Apa yang baik?

Suka atau tidak, jemaah menteri kali ini sekurang-kurangnya dapat mengimbangi keperluan perdana menteri dan permintaan rakyat dari sudut jumlah menteri Kabinet yang kecil. 

Kewujudan semula menteri ekonomi turut memberi nilai tambah kepada kabinet perpaduan.

Peranan menteri ekonomi yang menguruskan pembangunan ekonomi negara manakala menteri kewangan pula memfokuskan perbelanjaan mengurus dan belanjawan kerajaan, adalah satu pendekatan strategik bagi memastikan kawal selia ekonomi dan kewangan negara berfungsi dengan berkesan. 

Menteri ekonomi juga dapat memperkukuh kaedah semak dan imbang di dalam Kabinet agar setiap keputusan dibuat berdasarkan perancangan dan rasional yang betul dan tidak bergantung penuh kepada kuasa perdana menteri yang turut menyandang jawatan menteri kewangan.

Pendekatan ini lebih baik jika dibandingkan dengan pentadbiran sebelumnya yang meletakkan menteri menjaga ekonomi bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengukuhkan penguasaan perdana menteri dalam Kabinet. 

Perspektif yang diterangkan ini adalah sisi positif jemaah menteri kerajaan perpaduan yang cukup kompleks dan rumit.

Tetapi, ia tidak menafikan kebimbangan rakyat sekiranya amalan urus tadbir yang berintegriti tidak dapat dipertahankan oleh kerajaan perpaduan ini. 

Sebenarnya banyak lagi yang boleh ditambah baik untuk memperkukuh keyakinan rakyat kepada kerajaan ini. Antaranya melakukan penstrukturan size dan memotong peruntukan JPM yang terletak bawah kuasa perdana menteri.

Kecilkan kuasa perdana menteri

Kerajaan pusat pasca Langkah Sheraton mengembalikan peruntukan besar kepada JPM.

Dalam Belanjawan 2021 sewaktu pentadbiran Muhyiddin, JPM menerima peruntukan sebanyak RM 11.7 bilion, iaitu meningkat RM 3 bilion berbanding Belanjawan 2020. 

Dana khas diterima perdana menteri ketika itu berjumlah hampir RM 2.19 bilion. 

Belanjawan 2022 dibentangkan Ismail Sabri memperuntukan RM12. 2 bilion kepada JPM dan dana khas kepada perdana menteri pula dianggarkan sebanyak RM 2.14 bilion.

Ini bermaksud, kedua-dua perdana menteri sebelum ini memegang dana yang besar, yakni sebesar belanjawan Selangor dan Johor, untuk membelanjakan dana tersebut untuk kepentingan tertentu. 

Soalnya, apakah Anwar kali ini mempunyai pendirian tegas memotong dana khas dan peruntukan JPM dalam Belanjawan 2023 agar ia dapat diberikan kepada kementerian-kementerian lain untuk menjalankan peranannya?

Apakah perdana menteri mempunyai iltizam politik mengurangkan peruntukan untuk dirinya sendiri?

Rasionalnya mudah – sekiranya Anwar sudah memegang jawatan menteri kewangan, apakah logiknya peruntukan besar diberikan kepada perdana menteri bagi mengukuhkan kuasanya dalam kerajaan?

Perkara ini yang akan diperhatikan oleh rakyat pada pembentangan Belanjawan 2023.

Pendirian yang berani menguruangkan kuasa perdana menteri dalam JPM akan menyaksikan Anwar menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri yang berintegriti.

Jika tidak, kepercayaan rakyat juga akan terhakis dan mungkin kerajaan perpaduan akan mengharungi pelbagai cabaran besar untuk mempertahankan kedudukannya.

Perjalanan kerajaan perpaduan sebenarnya masih panjang. Perubahan dinamik politik negara yang kian rumit dengan beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung dalam masa terdekat bakal menguji ketahanan kerajaan yang berdiri atas kesepakatan gabungan parti politik. 

Soalnya apakah Kabinet ini akan terlepas tekanan undi percaya  pada 19 dan 20 Disember di Dewan Rakyat nanti? – 7 Disember, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen