Kerajaan setuju import telur ayam, kata Mohamad Sabu


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan keputusan Putrajaya untuk membenarkan import telur ayam sehingga bekalan dalam negara kembali stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.

PUTRAJAYA telah bersetuju untuk membenarkan import telur ayam sebagai cara untuk mengatasi kekurangan semasa, kata Mohamad Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan itu berkata kementeriannya juga akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyedari keperluan bekalan telur ayam yang merupakan makanan seharian berprotein yang popular di kalangan rakyat Malaysia dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam Negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Sabu berkata keperluan mengimport telur ayam akan dikaji semula apabila bekalan kembali stabil.

Katanya, ketua setiausaha kementerian telah ditugaskan untuk mengkaji kesan import terhadap industri telur tempatan.

Tambah Mohamad Sabu, Agrobank juga telah diminta untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil kekal berdaya saing dalam industri telur ayam.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan umum mekanisme baharu bagi mengurangkan harga telur di pasaran.

“Kita harap jumlah pengedaran telur dalam pasaran cukup dan harganya akan dikurangkan,” kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya semalam.

Awal tahun ini, penternak ayam merungut kerana kenaikan kos operasi menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan ternakan sehingga menyebabkan gangguan bekalan telur ayam di beberapa negeri.

Susulan itu, menteri pertanian ketika itu Ronald Kiandee mengumumkan kenaikan subsidi untuk penternak ayam dan pengeluar telur ayam.

Buat masa ini, subsidi pada kadar RM0.80 sekilogram untuk ayam dan RM0.08 sebiji telur akan diteruskan sehingga hujung tahun ini.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji; gred B (43 sen) dan gred C (41 sen) di Semenanjung Malaysia. Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah. – 6 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen