Speaker tolak lagi soalan 1MDB


Melati A. Jalil

AHLI Parlimen pembangkang mahu Pandikar Amin Mulia menjelaskan mengapa beliau menolak soalan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mereka berkata speaker Dewan Rakyat itu tidak harus menjadikan saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai alasan untuk menghalang perbahasan 1MDB di Parlimen.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Pandikar sekali lagi menolak dia soalan berhubung 1MDB oleh beliau dan empat lagi soalan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam sidang kali ini.

“Soalan saya mengenai sama ada perdana menteri akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal 1MDB ditolak atas alasan melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (1) yang menghalang soalan yang boleh memudaratkan mana-mana kes yang sedang dibicarakan.

“Saya rasa speaker mungkin merujuk pelucutan aset bernilai AS$4.5 bilion berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat, UK dan Switzerland oleh DoJ.

“Saya tidak faham bagaimana kes mahkamah di luar negara boleh dijadikan alasan untuk menghentikan perbahasan dan perbincangan di Parlimen Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Seksyen 23 (1) menyatakan soalan tidak seharusnya memudaratkan mana-mana kes yang sedang dibicarakan. 

Kata Lim, dengan membenarkan 1MDB dibangkitkan dalam Dewan Rakyat, ianya akan membuka peluang buat perdana menteri Najib Razak untuk menjawab dakwaan terhadap Malaysia berhubung skandal 1MDB itu, selain dapat membersihkan nama negara.

“Sekiranya tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram adalah benar, ini bermaksud speaker sedang bersubahat dengan perdana menteri dan (merosakkan nama) negara,” katanya.

Sementara itu, Pua berkata, satu daripada empat soalan yang ditolak speaker itu adalah mengenai permohonan untuk mendapatkan pengesahan sama ada Peguam Negara pernah embuat sidang media pada Januari 2016 berkaitan sejumlah wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi Najib.

“Ia tiada kena mengena dengan kes mahkamah. Ia berkaitan apa yang diumumkan peguam negara, tetapi mereka tidak berani jawab. Saya cuma nak pengesahan.

“Ini adalah parlimen kanggaru dengan speaker pun kanggaru. Kita semakin bagus dalam rasuah sebab semua institusi kita bijak melindungi rasuah,” katanya.

Semalam speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia turut menolak usul tergempar berhubung 1MDB.

Usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung, meminta Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan mengapa kerajaan tidak akan menuntut kapal layar mewah Equinimity, ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c).

Pada 28 Februari lalu, pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah milik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata Malaysia tidak akan menuntut kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low itu kerana ia bukan milik negara. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen