Pandikar sekali lagi tolak usul berkaitan 1MDB


Chan Kok Leong

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata beliau menolak usul berhubung kapal layar Equinimity kerana kes berkenaan sedang dalam siasatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018. 

SPEAKER Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung, meminta Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan mengapa kerajaan tidak akan menuntut kapal layar mewah Equinimity, ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c). 

Kapal layar bernilai RM1 bilion, yang dimiliki Low Thaek Jho, dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari. 

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, Malaysia tidak akan menuntut kapal berkenaan kerana tidak memilikinya.  

Usul Gooi dikatakan bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 23(1) dan 23(1)(g).

Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) membenarkan Speaker menolak mana-mana usul yang dikemukakan jika ia melanggar mana-mana peruntukan Peraturan Mesyuarat.

Seksyen 23 (1) (c) menyatakan bahawa soalan tidak boleh mengandungi sebarang hujah, antara lain campur tangan dan pendapat, dan tidak boleh memohon untuk mendapatkan maklumat mengenai hal-hal remeh.

Manakala 23 (1) (g) pula menyatakan bahawa soalan tidak seharusnya memudaratkan mana-mana kes yang sedang dibicarakan.

“Kami mahu perdana menteri meenjawab di Parlimen sekiranya beliau telah mengarahkan peguam negara untuk mendapatkan semula aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana ia dibeli dengan wang daripada 1MDB,” kata Gooi. 

Katanya Perdana Menteri Najib Razak perlu menjelaskan perkara itu, berikutan rampasan Equinimity. 

Pandikar berkata sekiranya usul berkenaan dibenarkan, beliau perlu melihat semula keputusan sebelum ini untuk menolak soalan yang sama berkaitan 1MDB. 

“Kapal layar itu sedang disiasat, itu sebabnya saya tidak benarkan usul ini dibincangkan.” – 6 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen