Mat Hasan komited terus jayakan Kertas Putih Pertahanan


Menteri Pertahanan Mohamad Hasan bersama Ketua Setiausaha Mindef Muez Abd Aziz (kiri) dan Panglima ATM Jen Affendi Buang di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar Facebook, 5 Disember, 2022.

MENTERI Pertahanan Mohamad Hasan komited dalam memastikan supaya Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah diluluskan di Parlimen, akan berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Mohamad berkata beberapa langkah perancangan strategik KPP yang akan memperkasakan lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah dan sedang dijayakan dengan baik oleh kementerian menerusi kepimpinan sebelum ini.

“Saya lihat ia sudah dilakukan dengan baik… saya akan teruskan apa yang sudah dilakukan oleh Mindef (Kementerian Pertahanan) dan ATM, dan akan memperkasakannya lagi mengikut keperluan.

“Keutamaan saya ialah untuk bersama-sama kepimpinan Mindef dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM (Darat, Laut dan Udara), untuk pastikan KPP ini dapat dijayakan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada media selepas selesai mengetip kad perakam waktu dan sesi taklimat bersama Ketua Setiausaha Mindef Muez Abd Aziz dan Panglima ATM Jen Affendi Buang di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau berkata selain KPP, turut menjadi keutamaannya setelah menerajui kementerian itu ialah menjayakan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).

“DIPKN merupakan satu kerangka dasar yang bakal memacu hala tuju dan asas kepada pembangunan industri pertahanan dan keselamatan negara sehingga tahun 2030, sebagaimana yang digariskan dalam KPP.

“Ia kolaborasi pembangunan dasar dengan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa agensi berkaitan dalam hal ehwal keselamatan negara. Saya komited untuk memastikan ia dapat direalisasikan dan diletakkan di landasan yang tepat,” katanya.

Selain itu, Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berkata beliau akan turut menumpukan usaha kepada pemerkasaan aset ketenteraan serta penambahbaikan aspek kebajikan tentera dan veteran ATM.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Tok Mat, memulakan tugas rasminya di Mindef setelah mengetip kad perakam waktu di pejabatnya di sini pada pukul 3.19 petang tadi. 

Sebelum itu, ketibaan Mohamad pada pukul 3 petang disambut Muez, Affendi dan Panglima Tentera Darat Jen Zamrose Mohd Zain serta warga Mindef.

Mohamad turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sabtu lalu, Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara sebagai ahli Kabinet kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Bernama, 5 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen