PM sesuai jadi menteri kewangan kerana ini masa luar biasa, kata Rafizi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Anwar Ibrahim lebih sesuai memegang jawatan menteri kewangan sekarang dalam keadaan politik semasa yang luar biasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2022.

ANWAR Ibrahim lebih sesuai memegang jawatan menteri kewangan sekarang dalam keadaan politik semasa yang luar biasa yang membawa kepada pembentukan kerajaan hasil kerjasama gabungan-gabungan politik selepas pilihan raya umum lepas, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Katanya, tiada mana-mana gabungan boleh dan akan berpuas hati sekiranya jawatan itu tidak dilantik dalam kalangan mereka sendiri, dan kerana itulah perdana menteri sendiri yang lebih sesuai sebagai menteri kewangan.

“Oleh kerana keadaan luar biasa, keputusan itu sesuai buat masa sekarang… senang perdana menteri menjadi menteri kewangan supaya tidak timbul isu dengan gabungan yang berbeza,” katanya pada sidang media di Menara Prisma di Putrajaya hari ini.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR menjelaskan sekiranya menteri kewangan dilantik daripada Pakatan Harapan, ia mungkin menimbulkan masalah dalam kalangan Barisan Nasional (BN), dan begitu juga sebaliknya.

“Ini satu keputusan yang sukar kerana apabila gabungan-gabungan membentuk kerajaan sudah tentu setiap gabungan pun mahukan jawatan menteri kewangan,” katanya.

PH membentuk kerajaan bersama BN serta GPS dan GRS selepas tiada mana-mana gabungan yang mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lebih tiga minggu lalu.

PH sebelum ini berpendirian perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain terutama portfolio kewangan untuk mengelak pemusatan kuasa yang melampau pada perdana menteri dan risiko penyelewengan.

Pendirian itu diambil dan menjadi kempen PH semasa PRU14 susulan skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak yang juga pada masa pentadbirannya memegang jawatan menteri kewangan. 

Rafizi menegaskan pendiriannya mengenai perkara itu bagaimanapun tidak berubah.

“Dalam keadaan sekarang, yang mana ekonomi berada dalam situasi mencabar, turut berkehendakkan perdana menteri juga menjawat jawatan menteri kewangan.

“Bagaimanapun, secara ideal bagi saya, jawatan perdana menteri dan menteri kewangan patut dipisahkan dan saya kekal dengan pendirian itu,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN turut mempertahankan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memegang sendiri jawatan menteri kewangan.

Katanya, pengalaman Anwar sebelum ini diperlukan untuk menarik sokongan pelabur.

Anwar pernah jadi menteri kewangan antara 1991 dan 1998 bawa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan Anwar memegang sendiri jawatan menteri kewangan sebelum itu dikritik banyak pihaknya antaranya pengerusi Perikatan Nasional dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin. – 5 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen