Pelabur lebih yakin apabila Anwar menteri kewangan, kata Zahid


Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menjawat portfolio kewangan, tindakan yang kini dikecam hebat Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2022.

AHMAD Zahid Hamidi mempertahankan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memegang sendiri jawatan menteri kewangan.

Menjawab kritikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, timbalan perdana menteri berkata Anwar di portfolio adalah satu keperluan semasa berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

Ahmad Zahid menyebut rekod Anwar pernah mencapai belanjawan lebihan semasa jadi menteri kewangan, selain mendapat beberapa pengiktirafan antarabangsa.

“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar pernah jadi menteri kewangan antara 1991 dan 1998 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ahmad Zahid, dalam tempoh itu, Anwar diiktiraf menteri kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine sementara Asia Money Magazine menamakan beliau menteri kewangan terbaik Asia.

Anwar juga pernah dinamakan sebagai The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger dalam kalangan negara Asia.

“Rekod ini tidak pernah dicapai oleh Muhyiddin dan Muhyiddin sangat bermasalah mengurus negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal,” tambahnya.

Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam mempersoalkan tindakan perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan, yang pernah Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sifatkan amalan tidak baik kerana pemusatan kuasa dan risiko penyelewengan.

Pengasingan jawatan perdana menteri dan menteri kewangan adalah antara janji PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14, susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Najib Razak.

Najib pada masa itu memegang sekali gus jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.

Selain Muhyiddin, beberapa pihak lain turut mengkritik tindakan Anwar memegang sendiri portfolio kewangan, antaranya badan pendesak pilihan raya lebih baik, Bersih. – 4 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen