Penerbit ‘Wolf of Wall Street’ setuju bayar RM234 juta dalam kes 1MDB


Riza Aziz (kiri) dan Jho Low (kanan) ketika menghadiri tayangan perdana filem "The Wolf Of Wall Street" di New York pada 17 Disember, 2013. – Gambar AFP, 7 Mac, 2018.

PENERBIT filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian, susulan tuduhan ia mendapat keuntungan menerusi dana dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut majalah AS Variety.

Red Granite Pictures, yang dimiliki oleh Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Najib Razak, memfailkan ketetapan bersama dengan pendakwa raya AS semalam di mana ia tidak mengakui sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

Kami gembira akhirnya dapat mengakhiri semua ini dan tidak sabar untuk memfokuskan kembali perhatian kepada perniagaan filem kami,” kata syarikat itu dipetik sebagai berkata kepada Variety.

Syarikat penerbitan itu mencapai persetujuan penyelesaian dengan pendakwa raya pada September tahun lalu. Dalam penyelesaian semalam, syarikat itu bersetuju untuk membuat bayaran pelucutan hak menerusi tiga ansuran: AS$30 juta dalam tempoh 30 hari, AS$20 juta dalam 180 hari, dan bahagian akhir AS$10 juta dalam tempoh 180 hari selepas itu, kata laporan berkenaan.

Pendakwa raya AS memfailkan tindakan untuk merampas aset sivil terhadap syarikat itu pada Julai 2016, sebagai sebahagian usaha untuk mendapat bayaran balik lebih AS$1 bilion yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pendakwa mendakwa Riza menggunakan lebih AS$100 juta diambil daripada 1MDB untuk membiayai “The Wolf of Wall Street,” “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”. Beliau menafikan berkenaan penggunaan wang curi untuk membiayai filemnya.

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS mendakwa usahawan hartawan Low Taek Jho, yang juga rakan baik kepada Riza dan Najib, sebagai dalang skim penipuan itu untuk mencuri AS$4.5 bilion daripada dana berkenaan.

Riza juga dituduh menggunakan wang 1MDB untuk membeli hartanah mewah, termasuk kondominium bernilai AS$35 juta di New York, rumah di London bernilai AS$41.8 juta dan rumah agam di Beverly Hills (AS$17.5 juta). Kerajaan juga memohon untuk merampas semua hartanah itu.

1MDB, syarikat diilhamkan oleh Najib yang ditubuhkan pada 2009 dan menjadi pengerusi dalam lembaga penasihatnya. Syarikat sarat hutang itu kini subjek siasatan kes pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland, Singapura dan AS.

Najib berulang kali menafikan memainkan sebarang peranan dalam penyelewengan dana itu, dan Pejabat Peguam Negara membersihkannya daripada segala salah laku dalam kes itu. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen