Penerbit Wolf of Wall Street capai penyelesaian tuntutan DoJ


Riza Aziz (kiri) dan Jho Low (kanan) ketika menghadiri tayangan perdana filem "The Wolf Of Wall Street" di New York pada 17 Disember, 2013. – Gambar AFP, 16 September, 2017.

RED Granite Pictures Inc menyelesaikan tuntutan saman terhadap pendapatan yang akan diperoleh pada masa depan daripada hak cipta filem sebagai sebahagian persetujuan dibuat dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS), yang memohon untuk menyita aset berkaitan dengan 1MDB, lapor The Wall Street.

Peguam yang mewakili Red Granite Pictures, syarikat diasaskan bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran penyelesaian.

DoJ mendakwa filem The Wolf of Wall Street, Dumb and Dumber To dan Daddy’s Home dibiayai menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB. Pada Mei, Red Granite mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk rundingan penyelesaian berhubung keuntungan, royalti dan pendapatan agihan kepada penerbit filem itu.

The Wolf of Wall Street yang mendapat pencalonan Oscar, diterbitkan pada 2013 dan dibintangi Leonardo DiCaprio, memperoleh lebih AS$390 juta menerusi jualan tiket di seluruh dunia.

Dalam permohonan saman DoJ, ia turut menamakan Jho Low, pembiaya filem itu, yang disebut secara khas dalam ucapan penghargaan filem itu.

“Kami gembira akhirnya dapat menyelesaikan perkara ini dan kembali fokus kepada kerja kami dalam industri filem,” kata Matthew Schwartz yang mewakili Red Granite, dipetik sebagai berkata semalam.

Pendakwa raya Amerika, yang melancarkan siasatan jenayah terhadap dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB, memohon untuk menangguhkan saman difailkan sejak dua tahun lalu bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Dalam kes sivil itu, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dialihkan oleh pegawai berpangkat tinggi dalam syarikat pelaburan negara itu dan sekutu mereka.

Pada Jun, DoJ memfailkan saman mendakwa AS$540 juta digunakan untuk membeli antara lain, AS$165 juta kapal layar dan AS$27.3 kalung berlian untuk “isteri Malaysian Official No.1” (MO1).

Ia juga termasuk loket berlian bernilai AS$3.8 juta yang dihadiahkan oleh Low pada pelakon Miranda Kerr pada 2014. Low juga didakwa memberikan lukisan Picasso bernilai AS$3.2 juta kepada DiCaprio.

DoJ juga memfailkan saman pada Julai 2016 untuk merampas lebih kurang AS$1 bilion (RM4.4 bilion) aset- seperti hasil seni dan hartanah di New York dan Los Angeles- yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada 1MDB, menjadikan ia kes terbesar menerusi Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi.

Najib yang pulang ke tanah air semalam selepas lawatan kerja ke AS dan UK, berulang kali menafikan sebarang salah laku, berkata beliau sudah dibebaskan oleh pihak berkuasa Malaysia. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen