Kabinet Anwar perlu pakar tangani masalah negara, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Anwar Ibrahim perlu ahli Kabinet yang efektif termasuk profesional untuk selesaikan isu ekonomi dan kos sara hidup tinggi, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2022.

ANWAR Ibrahim memerlukan ahli Kabinet yang efektif termasuk profesional untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kos sara hidup tinggi yang melanda negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata jika presiden PKR memilih orang yang berkebolehan maka beliau mungkin dapat menangani masalah itu.

“Tetapi jika beliau mahu mendapatkan kesetiaan semua pihak maka beliau akan mempunyai Kabinet yang pelbagai kerana gabungan parti.

“Beliau mungkin mahu menyelesaikan masalah rakyat tetapi beliau mungkin menerima pelbagai reaksi (mengenai pelantikan kabinet) daripada parti dalam gabungan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan sendiri dan terpaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Anwar dijangka mengumumkan Kabinetnya menjelang akhir minggu ini.

Dr Mahathir berkata Anwar mesti mempunyai profesional yang cekap dalam menangani isu kos sara hidup dalam Kabinetnya.

“Saya berharap kerajaan baharu menggunakan kepakaran luar untuk menangani kos sara hidup yang tinggi dan pengangguran.

“Apabila saya katakan pakar, mereka mesti yang tidak setia kepada kerajaan tetapi mereka yang berurusan dengan fakta dan cara menyelesaikan isu,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu berharap kestabilan politik dapat dipulihkan oleh kerajaan Anwar.

Di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin terdapat 32 menteri dan 38 timbalan manakala bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai Kabinet 31 menteri dengan 38 timbalan.

Mereka berdua terpaksa membuat Kabinet bersaiz besar bagi memastikan sokongan untuk mereka dapat dikekalkan.

Dr Mahathir Mohamad berkata apabila PH menang PRU14 ia sebagai gabungan yang ditubuhkan sebelum pilihan raya tetapi gabungan Anwar Ibrahim dibentuk selepas pilihan raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Disember, 2022.

Kerajaan perpaduan

Dr Mahathir berkata apabila PH menang pada PRU14 ia adalah sebagai gabungan yang ditubuhkan sebelum pilihan raya tetapi gabungan Anwar dibentuk selepas pilihan raya.

“Mereka perlu bekerjasama, jika tidak mereka tidak boleh membentuk kerajaan, jadi mereka perlu berkompromi.

“Biasanya kerajaan sebegini tidak akan bertahan lama. Kita tidak tahu, kita perlu lihat,” katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat terlalu banyak permintaan untuk dipenuhi daripada semua pihak.

“Masing-masing (parti) akan mahu itu dan ini. Ini adalah parti yang menyokongnya.

“Jadi Anwar terpaksa mengalah. Tetapi kadang-kadang dia tidak boleh,” katanya.

PH memenangi 82 kerusi pada PRU15 yang tidak cukup untuk membentuk majoriti mudah. 

Anwar kemudiannya terpaksa bergabung dengan BN yang memenangi 30 kerusi dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi 23 kerusi, memberikan kerajaan perpaduan 135 kerusi di Parlimen. – 2 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen