Bank pusat Thailand umum kadar dasar buat kali ketiga


BANK pusat Thailand menaikkan kadar dasar utamanya buat kali ketiga berturut-turut iaitu sebanyak 0.25 mata peratus bagi mengimbangi usaha mengurangkan inflasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi. – Gambar Bank of Thailand, 1 Disember, 2022.

BANK pusat Thailand pada Rabu menaikkan kadar dasar utamanya buat kali ketiga berturut-turut, iaitu sebanyak 0.25 mata peratus, bagi mengimbangi usaha mengurangkan inflasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi, lapor Xinhua.

Jawatankuasa dasar monetari Bank of Thailand (BOT) mengundi sebulat suara untuk menaikkan kadar dasar daripada 1 peratus kepada 1.25 peratus, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas kenaikan kadar 0.25 mata peratus masing-masing pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada 28 September dan 10 Ogos, kenaikan kadar pertama sejak lewat 2018.

Kenaikan kadar pada Rabu itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran, menjadikannya kadar dasar utama pada paras tertinggi sejak Februari 2020.

Pemulihan ekonomi Thailand terus terkawal, dengan pelancongan serta penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama ekonomi manakala sistem kewangan berdaya tahan, namun inflasi utama dijangka lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya untuk 2023 disebabkan oleh harga tenaga domestik, kata BOT dalam kenyataan di laman webnya. – Bernama, 1 Disember, 2022.          



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen