Batalkan kuasa PM lantik hakim, titah YDP Negeri Sembilan


Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah menyarankan kuasa perdana menteri daripada melantik lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dibatalkan supaya keanggotaannya lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan kepada mana-mana pihak. – Gambar Facebook Unit Foto Jabatan Penerangan, 30 November, 2022.

KUASA perdana menteri untuk melantik lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu dibatalkan dan diserahkan kepada institusi yang lain, titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah langkah itu penting agar keanggotaannya lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan kepada mana-mana pihak.

“Beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli-ahli JAC tidak dibuat oleh perdana menteri.

“Sebaliknya ia diberikan kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen,” titah baginda pada ucapan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-260 di Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dipengerusikan Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, baginda turut mencadangkan supaya struktur JAC dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan pihak serta institusi yang relevan.

“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil.”

Fungsi JAC antara lain termasuk melantik individu yang layak sebagai hakim mahkamah untuk dipertimbangkan perdana menteri, selain merumus dan melaksanakan mekanisme pemilihan dan pelantikan, juga membuat cadangan lain mengenai badan kehakiman. – 30 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen