YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan supaya bendera negeri dikibarkan separuh tiang pada Isnin ini bagi menzahirkan penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Razali Ab Malik berkata, titah itu juga sebagai tanda menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II di Istana Balmoral, Scotland selepas 70 tahun menduduki takhta yang merupakan monarki paling lama bertakhta dalam sejarah Britain.
“Tuanku Muhriz berkenan agar bendera Negeri Sembilan dikibarkan separuh tiang pada Isnin, 19 September bagi menzahirkan penghormatan baginda kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri menjunjung titah dan mengarahkan semua jabatan dan agensi di negeri itu supaya mengibarkan bendera Negeri Sembilan separuh tiang. – Bernama, 16 September, 2022.
Komen