Calon BN jumpa calon PH, bincang strategi kempen


Mohd Johari Hussain sedia berbincang mengenai kempen pilihan raya DUN Tioman bersama calon PH Mohd Fadzli Mohd Ramly. – Gambar Facebook, 29 November, 2022.

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Mohd Johari Hussain berkata beliau akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam masa terdekat untuk membincangkan gerak kerja dan strategi kempen.

Beliau berkata, ia susulan parti Amanah bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada BN bagi kerusi DUN Tioman.

“Saya sekarang di peringkat awal perbincangan bersama dengan wakil itu (PH) bagi kita merangka strategi gabungan yang terbaik sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.

“Ini juga bagi memastikan kelancaran dalam kita berkempen kerana ini satu perkara yang bagi saya agak luar biasa berlaku di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Jawa Pantai di Rompin hari ini.

Mohd Johari juga berharap jentera kedua-dua parti dapat bekerjasama dengan baik dalam meraih sokongan pengundi berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan gandingan BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan memberikan laluan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Johari sepatutnya berdepan saingan lima penjuru membabitkan Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – Bernama, 29 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen