Nama calon PH masih ada dalam kertas undi


Calon Pakatan Harapan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional pada PRU15 DUN Tioman 7 Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2022.

NAMA calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tertera di kertas undi walaupun dilaporkan beliau memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Zamree Hamli berkata status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon ditutup walau apa pun pengumuman dibuat oleh parti  bertanding.

Zamree berkata, Mohd Fadzli daripada Amanah, iaitu komponen dalam PH, juga boleh terus berkempen dan pengundi juga masih boleh memberi undi kepada calon itu.

“SPR cuma menyediakan gelanggang untuk calon bertanding. Keputusan mereka untuk beri laluan itu atas dasar politik mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung kenyataan Amanah yang bersetuju memberikan laluan kepada calon BN dalam saingan DUN Tioman, mengambil kira perkembangan BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang.

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung 7 Disember ini, selepas ditangguhkan berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Proses penamaan calon bagi DUN Tioman berlangsung pada 24 November lalu manakala 3 Disember ini hari pengundian awal.

Pada pilihan raya itu, Mohd Fadzli sepatutnya berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon BN Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Sebelum ini, Mohd Fadzli dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama antara dua parti itu di Pahang selepas PRU15. – Bernama, 29 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen