PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky semalam berkata lebih enam juta isi rumah di negara itu masih terjejas apabila bekalan elektrik dipotong dua hari selepas sasaran serangan Rusia ke atas infrastruktur tenaga Ukraine.
“Sehingga petang ini pemotongan berterusan dibuat di kebanyakan wilayah (Ukraine) dan di Kyiv. Secara keseluruhan lebih daripada enam juta pelanggan terjejas,” kata Zelensky dalam ucapan hariannya sambil menambah bilangan isi rumah yang terjejas berkurangan “separuh” sejak Rabu.
Zelensky berkata kira-kira 600,000 pelanggan berdepan pemotongan bekalan elektrik di ibu negara Kyiv dengan wilayah Odessa, Lviv, Vinnytsia dan Dnipropetrovsk juga antara yang paling teruk terjejas.
Serangan Rusia yang sistematik dan disasarkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan infrastruktur tenaga Ukraine terjejas ketika musim sejuk semakin tiba mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kesihatan dan perpindahan lebih jauh dari negara yang dilanda perang itu. – AFP, 26 November, 2022.
Komen