Sedih tapi perlu terima kekalahan, kata Dr Mahathir


Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad yang berharap pentadbiran baharu kerajaan akan dapat memulihkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

KEKALAHAN Pejuang dalam PRU15 menyedihkan tetapi perlu diterima, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad yang berharap pentadbiran baharu kerajaan akan dapat memulihkan negara.

Beliau mengakui kekalahan itu sangat besar sehingga Pejuang tidak mampu menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Saya sebagai pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat. Saya harap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia.

“Oleh kerana (gabungan Gerakan Tanah Air) kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur,” katanya dalam satu kenyataan di pelantar media sosial.

Tambahnya, beliau juga akan meluangkan masa untuk menulis dan mempelawa para penulis untuk mewawancara beliau.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British. Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” katanya.

Dr Mahathir yang bertanding di kerusi Langkawi hilang deposit selepas meraih 4,566 undi dari keseluruhan 66,777 undi kawasan tersebut.

Anaknya Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah juga menerima nasib sama di kerusi Jerlun di negeri itu. – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen