FBI, Indonesia tidak pernah minta bantuan Malaysia rampas Equanimity, kata KPN


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menegaskan pihaknya tidak pernah dihubungi FBI dan polis Indonesia bagi membantu dalam rampasan kapal pesiar mewah Equanimity. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018.

BIRO Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan pihak berkuasa Indonesia tidak pernah menghubungi polis Malaysia untuk membantu dalam rampasan kapal layar milik jutawan Low Taek Jho, kata Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun.

“Tidak, mereka tidak pernah menghubungi kami,” katanya dalam jawapan ringkas kepada media di Bukit Aman pagi ini.

Kapal pesiar mewah Equanimity itu dikatakan dibeli pada harga RM196.5 juta, dengan wang yang didakwa daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dirampas oleh polis Indonesia di Bali minggu lepas.

Jho Low dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berikutan penyitaan kapal berkenaan menuduh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) melampaui batas. 

Jurucakap kepada ahli perniagaan yang juga orang kepercayaan Perdana Menteri Najib Razak itu berkata walaupun masih menunggu proses pelucuthakan aset, DOJ terus membuat tuduhan “yang bermotif politik”.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak bagaimanapun berkata tiada bukti kapal layar mewah berkenaan milik Jho Low.

“Hingga ke hari ini, selain dari dakwaan yang terkandung dalam tuntutan mahkamah itu, DoJ masih belum mengemukakan bukti bahawa Low adalah pemilik sebenar kapal layar itu atau ia dibeli dengan dana 1MDB.

“Tambahan pula, DoJ masih belum membuktikan mana-mana pertuduhannya di mahkamah undang-undang, meskipun ianya sudah hampir dua tahun berlalu sejak persidangan akhbarnya pada Julai 2016,” kata Salleh dalam satu kenyataan.

Salleh merujuk kepada saman sivil yang difailkan oelh DoJ untuk merampas aset yang diberi menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad.

Aset ini termasuklah kapal Equinimity bernilai AS$260 juta (RM1 bilion), yang didakwa dibeli oleh Jho Low, yang merupakan individu utama dalam siasatan AS ke atas salah laku membabitkan 1MDB.– 6 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Fbi dgn indonesia bukannya dibawah kerajaan ketuanan melayu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan