Anwar risau retorik kaum, sambut baik amaran polis


Ahli Parlimen Tambun Anwar Ibrahim menyalahkan pihak yang 'terdesak' dan 'berkepentingan' susulan perkembangan provokasi sentimen perkauman di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim bimbang dengan sentimen perkauman dan retorik yang digembar-gemburkan ketika negara menunggu pembentukan kerajaan persekutuan baharu.

Ahli Parlimen Tambun menyalahkan perkembangan ini kepada kumpulan “terdesak” dan “berkepentingan”.

“Usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Presiden PKR itu berkata beliau bersetuju dengan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani yang memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak menimbulkan ketegangan atau sebarang provokasi di media sosial yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Acryl Sani berkata demikian selepas polis mengesan pengguna media sosial memuat naik kandungan dengan sentimen perkauman atau agama serta penghinaan terhadap institusi diraja susulan keputusan pilihan raya umum.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada Sabtu, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 dan Barisan Nasional dengan 30 kerusi.

Ini mengakibatkan Parlimen tergantung kerana kedua-dua pakatan tidak mencapai majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.

PH dan PN kedua-duanya mendakwa memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan dan bersedia menyerahkan butiran gabungan yang menyokong mereka dan pilihan calon perdana menteri kepada istana menjelang 2 petang hari ini.

Majlis Tertinggi BN akan bermesyuarat pada pukul 11 ​​pagi untuk memutuskan secara rasmi gabungan mana yang akan disokongnya. – 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen