Jangan timbulkan situasi ancam ketenteraman awam di media sosial, kata KPN


Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengesan ada yang muat naik kandungan menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Sabtu lepas, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. 

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. – Bernama, 22 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen