Pakatan akan jelaskan kepada penyokong, kata Fahmi Fadzil


Kalidevi Mogan Kumarappa

PAKATAN HARAPAN (PH) akan menjelaskan kepada penyokong akar umbi mengenai tujuan kerjasama dan kerajaan gabungan bersama Barisan Nasional (BN), kata ketua penerangannya.

Fahmi Fadzil berkata penyokong PH yang pragmatik dan praktikal dilihat positif dengan perkembangan politik terbaharu ini.

“Kalau kita lihat rata-rata penyokong ada yang bersifat pragmatik dan kritikal, mereka lihat ada keperluan, lebih baik usaha ini berbanding alternatif yang lain.

“Di situ kita nampak di kalangan penyokong ada yang boleh terima, pada masa yang sama kita akan beri penjelasan kepada anggota akar umbi kenapa kita perlu usahakan langkah ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hotel Seri Pacific, petang ini.

Fahmi berkata pucuk pimpinan akan jelaskan kepada penyokong akar umbi dan orang ramai mengenai kerjasama dengan BN.

“Keutamaan akan diberikan kepada rakyat dan negara, dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hotel Seri Pacific, petang ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu antara pimpinan PH yang menghadiri rundingan dengan pimpinan BN awal hari ini.

Pada sidang media selepas perjumpaan dengan pimpinan BN, Anwar mengumumkan PH sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN untuk kestabilan negara.

“Kita sudah bincang dengan BN. Isu paling penting ialah mewujudkan kerajaan yang stabil, yang inklusif, yang menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

“Saya masih optimis yang kita akan dapat membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik demi kepentingan rakyat,” katanya. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen