Pakatan mahu bentuk kerajaan perpaduan dengan BN, kata Anwar


Noel Achariam

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pihaknya sedang berusaha membentuk kerajaan gabungan dengan Barisan Nasional, menambah yang beliau masih calon perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) untuk kestabilan negara, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu juga berkata beliau masih lagi calon perdana menteri gabungan itu.

“Kita sudah bincang dengan BN. Isu paling penting ialah mewujudkan kerajaan yang stabil, yang inklusif, yang menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

“Saya masih optimis yang kita akan dapat membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik demi kepentingan rakyat,” katanya di hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, petang ini.

Tambah Anwar, BN telah meminta sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan untuk kerajaan gabungan.

“Rundingan berjalan lancar, cuma pemimpin BN memohon sedikit waktu sebelum memuktamadkan keputusan selepas membuat mesyuarat dengan parti lain,” katanya.

Menurutnya, seramai tujuh wakil BN melakukan rundingan dengan PH tadi dan rundingan itu berjalan lancar.

Anwar berkata, pihaknya berpuas hati dalam rundingan itu yang membincangkan keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan yang bersifat inklusif, selain dalam soal ekonomi.

“Perbincangan lebih kepada isu dasar dan keperluan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan inklusif,” katanya.

Ketika ditanya sama ada BN ada meletakkan syarat termasuk menggugurkan pertuduhan mahkamah, Anwar berkata, isu berkenaan tidak bincang sama sekali secara formal atau peribadi.

“Kes-kes itu tidak berkaitan dengan apa yang telah dibincangkan. Mahkamah, mahkamah lah, ia tidak terikat dengan apa dipersetujui kerajaan.

“Badan kehakiman harus bebas, jangan dikaitkan dengan eksekutif, isu berkenaan tidak dibincangkan langsung.

“Mahkamah tidak terikat dengan kerajaan, badan kehakiman harus bebas,” katanya. – 21 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen