Malaysia tak terlibat dalam rampasan Equanimity, kata laporan


MALAYSIA tidak terlibat dalam rampasan kapal layar Equanimity oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), kata polis Indonesia kepada Malaysiakini.

Timbalan Pengarah Jenayah Khas dan Ekonomi Indonesia Tengah Daniel Silitonga memberitahu portal berita itu yang mereka tidak berhubungan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai rampasan kapal layar dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bali minggu lepas.

Silitonga berkata secara “prinsipnya”, Indonesia hanya berhubungan dengan AS, di mana DoJ sudah memfailkan saman untuk merampas aset mencecah lebih AS$1 bilion. DoJ percaya, sebanyak AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB.

Kapal layar berharga AS$250 juta itu tersenarai dalam senarai aset difailkan DoJ dan dikatakan milik ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, rakan rapat Najib Razak yang terlibat dengan 1MDB ketika ia mula-mula ditubuhkan perdana menteri Malaysia itu.

Kegagalan Malaysia untuk bertindak terhadap 1MDB dan kapal itu yang kini sudah dirampas negara jiran mencetuskan kritikan terbaru terhadap pentadbiran Najib.

Malah, bekas menteri kabinet Rafidah Aziz sendiri menyelar pihak berkuasa Malaysia kerana tidak pro aktif, mempersoalkan mengapa mereka tidak boleh mengesan kapal layar itu sedangkan beliau boleh melihatnya di Thailand ketika melawat negara itu tahun lepas.

Najib menafikan semua tuduhan salah laku dan korupsi serta skandal 1MDB, mendakwa AS$681 juta dana pelaburan negara itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya sebagai “derma” keluarga diraja Arab Saudi dan sudahpun dipulangkan.

Tetapi, siasatan di beberapa negara terus berjalan walaupun di Malaysia, 1MDB sudah dilepaskan daripada sebarang salah laku pentadbiran dan melaksanakan proses rasionalisasi hutang.

Silitonga berkata pihak berkuasa Indonesia tidak menyiasat Low dan hanya membantu AS mengesan dan merampas Equanimity kerana terdapat permohonan rasmi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak baru-baru ini mengatakan tiada bukti Low adalah pemilik kapal mewah itu. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen