SKMM arah Raja Petra padam rencana berkaitan Robert Kuok


Rencana ditulis Raja Petra menerusi blognya, Malaysia Today berkaitan Robert Kuok diarahkan dipadam oleh SKMM hari ini kerana melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – Gambar EPA, 5 Mac, 2018.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan blog Malaysia Today untuk memadam tiga rencana yang didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 233 melibatkan kesalahan jenayah menggunakan internet untuk komunikasi “yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.”

Menerusi sepucuk surat kepada pentadbir blog itu pagi ini, SKMM mengarahkan tiga rencana bertajuk “Robert Kuok wants Chinese rule in Malaysia”, “Malaysian Insight funder fingered” dan “Robert Kuok’s last chance at changing the government” dipadamkan dari blog itu.

Surat itu mengatakan SKMM menerima aduan berkaitan rencana yang diterbitkan pada 21 dan 23 Februari lalu.

Semua rencana itu perlu dipadamkan sebelum jam 10 pagi esok (Selasa).

Pemeriksaan mendapati semua rencana terlibat sudah dipadam.

Rencana berkaitan hartawan berpangkalan di Hong Kong itu mencetuskan kemelut dalam negara selepas Raja Petra mendakwa Kuok membiayai DAP bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kuok dan DAP sudah menafikan dakwaan yang mencetuskan serangan berterusan kepada Kuok oleh beberapa pemimpin Umno termasuklah Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Majlis Tertinggi Nazri Aziz.

Bahasa kesat yang digunakan Nazri menggelarkan Kuok sebagai “pondan” dan “ayam betina” turut mencetuskan kemelut antaranya dan parti kedua terbesar BN, MCA.

Pemimpin MCA dan beberapa akhbar Cina menyelar menteri pelancongan dan kebudayaan itu kerana kenyataan kesatnya, mengatakan ia menjejaskan hubungan kaum dan sokongan pengundi Cina kepada BN.

Terkesan kerana dikritik, Nazri memulangkan paku buah keras terhadap MCA mengatakan parti itu tidak lagi mewakili masyarakat Cina berdasarkan kekalahan besar pada PRU13.

Kemelut bertambah buruk apabila Presiden MCA Liow Tiong Lai menggelarkan Nazri “bersubahat dengan pembangkang” kerana kenyataannya terhadap MCA, malah beberapa ahli parti itu turut mengadakan protes mendesak Nazri meminta maaf.

Tetapi, bukan semua pemimpin Umno bersetuju dengan serangan ke atas Kuok.

Hujung minggu lepas, Rafidah Aziz mengatakan Kuok adalah individu yang penuh integriti, jujur dan beretika.

Bekas menteri perdagangan dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad dan veteran Umno itu mengatakan beliau mengenali Kuok- taikun Malaysia yang digelar Raja Gula- itu sejak awal 1980-an.

Dalam catatan di Facebook, Rafidah mengatakan beliau sering berbincang dengan Kuok tentang prinsip malah hartawan itu juga menasihati anak-anaknya tentang etika ketika mereka sedang membesar.

“Saya melihat beliau sebagai seseorang yang mempunyai prinsip dan nilai yang harus dicontohi generasi muda.” – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen