TIDAK seperti rakan-rakannya dalam Umno yang mencerca Robert Kuok, Rafidah Azizi sebaliknya menyifatkan hartawan itu sebagai seorang yang berintegriti, jujur dan beretika.
Bekas menteri dan veteran Umno itu berkata beliau mengenali Kuok, seorang jutawan Malaysia dan Raja Gula, sejak awal 80-an.
Dalam posting Facebooknya hari ini, katanya beliau sering berbincang mengenai prinsip-prinsip itu bersama Kuok, malah pernah meminta jutawan itu supaya menasihati anak-anaknya tentang etika.
“Saya melihat beliau sebagai seseorang yang mempunyai prinsip dan nilai yang harus dicontohi generasi muda,” kata Rafidah, yang pernah menjadi menteri perdangangan dalam Kabinet yang diketuai bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kuok, yang kini menetap di Hong Kong, diserang beberapa pemimpin Umno susulan dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin yang menuduh hartawan itu mendanai DAP dan cuba untuk menukarkan kerajaan Barisan Nasional dengan kerajaan Cina.
Selepas Raja Petra membuat dakwaan itu, beberapa menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat Umno menyerang Kuok. Malah Perdana Menteri Najib Razak juga mengingatkan Kuok bahawa kekayaan yang dikumpulnya itu adalah hasil daripada peluang dasar kerajaan.
Antara kenyataan paling teruk terhadap Kuok adalah yang dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazir Abdul Aziz, yang dilaporkan memanggil hartawan berusia 94 tahun tersebut sebagai pondan. Malah beliau turut menggesa Kuok melepaskan kerakyatannya.
Kenyataannya itu mengundang perang mulut dengan rakan dalam BN, MCA yang mahu beliau memohon maaf dia atas penghinaannya terhadap Kuok itu.
“Benar, PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) semakin hampir.
“Tetapi ia bukan lesen untuk sesiapa mengamalkan politik kotor, membangkitkan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat, untuk merendah-rendahkan dan menyerang individu secara sesuka hati, sekaligus menjadi ia sebagai modal politik,” kata Rafidah.
Beliau berkata para usahawan melabur untuk menambah nilai ekonomi negara, dan keluaran sampingan daripada perusahaan tersebut memberi kesan berganda secara menyeluruh.
“Kerajaan mengutip cukai dan lain-lain daripada mereka untuk mengisi kantung negara.”
Rafidah berkata negara sudah sedia terbeban dengan pelbagai isu kleptokrasi, antaranya skandal melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang baru-baru ini kembali menjadi tumpuan selepas tindakan pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar mewah Equanimity yang dibeli dengan wang yang didakwa dicuri daripada dana syarikat pelaburan itu.
Rafidah berkata tidak perlu untuk mengalih perhatian masyarakat dengan cara kotor, dan menutup mata dan telinga terhadap kebenaran.
“Tidak perlu berpura-pura atau mendakwa bahawa berita yang tidak senang didengar itu berita palsu.
“Tidak perlu politikkan semua perkara bagi kepentingan politik atau untuk menyenangkan kedudukan seseorang, dan berpura-pura seperti tidak apa yang salah.
“Tolonglah, semuanya tidak okay. Jauh panggang dari api,” katanya. – 4 Mac, 2018.
Komen