Pakatan dijangka mendahului 82 kerusi, kata Merdeka Center


TINJAUAN Merdeka Center mendapati Pakatan Harapan (PH) akan mendahului Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) akan menduduki tempat kedua dengan 43 kerusi.

Badan bebas itu turut meramalkan gabungan Barisan Nasional (BN) akan menamatkan pengundian dengan 15 kerusi sahaja.

Namun, ia dalam laporan tinjauannya tidak dapat jangka 45 kerusi lain akan dirangkul gabungan yang mana satu.

“Kami ambil perhatian persaingan ketat dalam pilihan raya ini bermakna persaingan di banyak kerusi akan menjadi sangat sengit,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Ia mengunjurkan Gabungan Parti Sarawak akan menang 24 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (5), dan Parti Warisan Sabah (6).

“Daripada tinjauan berterusan yang telah kami laksanakan sejak 3 November dan berakhir pada 18 November, kami dapati tiga gabungan utama dengan asas sokongan yang kukuh masih perlu menarik pengundi baharu yang belum membuat keputusan memilih mereka.”

“Dalam tempoh kempen, kami dapati ada kecenderungan pengundi Melayu ke PN dan sedikit sebanyak, Pakatan Harapan. Perkembangan ini telah mengorbankan BN,” katanya.

Merdeka Center menyatakan sebahagian besar pengundi bukan Melayu tetap menyokong PH.

Awal hari ini, Ilham Center meramalkan tiada satu pun daripada tiga gabungan itu akan menang 112 kerusi dalam PRU15 untuk membentuk kerajaan.

Pengarah eksekutifnya Hisomuddin Bakar berkata, firma itu menjangka gabungan PH mengungguli sekitar 86 daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen, sekiranya 80% keluar mengundi.

BN pula dijangka hanya mampu memperoleh sekitar 51 kerusi, diikuti PN yang dijangka mampu memenangi 25 kerusi.

Laporan kaji selidik itu juga mendapati, BN masih menjadi pilihan pengundi Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar dan PH terus menerima sokongan pengundi bukan Melayu. – 18 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen