Pakatan dijangka ungguli PRU15, kata Ilham Centre


Mohd Farhan Darwis

Ilham Centre menjangkakan jika peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus, Pakatan Harapan akan peroleh sekitar 86 daripada 222 keseluruhan kerusi Dewan Rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 November, 2022.

PENYELIDIK Ilham Centre menjangkakan tiada gabungan parti yang mampu mencapai majoriti mudah 112 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan bersendirian, selepas PRU15 esok.

Pengarah eksekutifnya Hisomuddin Bakar berkata, firma itu menjangka gabungan PH mengungguli sekitar 86 daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen, sekiranya 80% keluar mengundi.

BN pula dijangka hanya mampu memperoleh sekitar 51 kerusi, diikuti PN yang dijangka mampu memenangi 25 kerusi.

Laporan kaji selidik itu juga mendapati, BN masih menjadi pilihan pengundi Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar dan PH terus menerima sokongan pengundi bukan Melayu.

PN bagaimanapun katanya menjadi pemecah undi BN namun masih sukar menggugat kedudukan parti itu, katanya.

“PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar, namun begitu, ianya masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.

“PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN, PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi antara BN dan PH,” kata laporan yang disiarkan petang tadi.

Keadaan itu katanya sekaligus memberikan kelebihan kepada PH.

“Kurang daripada 24 jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru.

“Semakin tinggi undi Melayu yang ‘dicuri’ PN akan memberikan kelebihan kepada PH untuk mempertahankan dominasinya di kawasan tersebut,” kata laporan itu lagi.

Semakin tinggi undi Melayu yang dicuri Perikatan Nasional akan memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan untuk mempertahankan dominasinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 November, 2022.

Dapatan kajian itu menunjukkan separuh daripada kerusi dimenangi PH di Semenanjung datangnya dari kawasan pengundi Melayu di bawah 50%, iaitu sekitar 43 kerusi. Kawasan itu mempunyai kira-kira 44 kerusi.

Berbeza bagi BN, Ilham Centre menjangkakan gabungan itu memperolehi hanya satu kerusi di kawasan berkenaan.

Di kawasan campuran, atau pengundi Melayu sekitar 50% hingga 69%, yang mempunyai 46 kerusi, PH dijangka memenangi 30 kerusi, sedangkan BN diunjurkan mendapat sembilan kerusi, dan PN dijangka hanya menang satu kerusi.

Manakala kawasan super majoriti Melayu, iaitu antara 70% hingga 100%, yang mempunyai sekitar 75 kerusi, PH dijangka akan menang enam kerusi, manakala BN dijangka menang di 38 kerusi. PN pula dijangka mendapat 24 kerusi di kawasan ini.

PH juga diramal menang enam kerusi di Sarawak dan dua di Sabah dan Labuan, manakala BN akan menang tiga di Sabah dan Labuan.

Gerakan Tanah Air pula dijangka hanya menang satu kerusi.

Di kawasan semenanjung juga, Ilham Centre menjangkakan terdapat 12 kerusi yang berada dalam pertandingan sengit atau 50-50. Masing-masing enam kerusi di kawasan pengundi Melayu antara 50% hingga 100%.

Dalam laporan pola sokongan pengundi dan prwdiksi PRU15 itu juga, Ilham Centre melihat blok Borneo akan menjadi penentu pembentukan kerajaan.

Laporan kaji selidik Ilham Centre turut mendapati Barisan Nasional masih menjadi pilihan pengundi Melayu sementara Pakatan Harapan akan terus mendapat sokongan pengundi bukan Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 November, 2022.

Mereka menjangkakan PH menguasai enam  daripada 31 kerusi di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga akan berjaya menang sekitar 18 kerusi, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga akan menang satu kerusi dan enam kerusi menyaksikan persaingan sengit.

Manakala di Sabah dan Labuan, Ilham Centre meramalkan BN akan menguasai tiga kerusi,  PH dua kerusi, Parti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing akan menang enam kerusi, Bebas satu kerusi, dengan terdapat lapan daripada 26 kerusi dijangka berada dalam keadaan sengit.

Antara kawasan sengit yang dijangkakan Ilham Centre termasuklah; Kangar; Arau; Pokok Sena; Kulim Bandar Baharu; Ketereh; Bukit Gantang; Sungai Buloh; Temerloh; Sungai Besar; Kuala Selangor; Tampin; Ayer Hitam, Kudat; Putatan; Penampang; Sipitang, Kinabatangan; Tawau; Kalabakan; Sri Aman, Lubok Antu; Igan, Sarikei; Miri; Kimanis dan Lawas.

“Senario Sabah agak unik walaupun nampak kesepakatan GRS-BN membelah kawasan secara saksama untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri ternyata mengundang reaksi pengundi yang berbeza.
 
“Bagi kawasan yang tradisinya ditandingi oleh BN tetapi diserahkan kepada GRS menyebabkan pengundi tegar mereka sukar untuk mengundi GRS. Sebaliknya juga berlaku di kerusi GRS yang diserahkan kepada BN,” katanya.

Tambahnya, pertembungan itu dijangka akan menguntungkan parti Warisan sekiranya berlaku unsur sabotaj dan undi protes.

Kajian tersebut dijalankan selama tiga minggu bermula 30 Oktober 2022 sehingga 17 November 2022 yang melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan 1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar daripada 150 responden di seluruh negara. – 18 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen