Kempen gerila Pejuang Lipis tumpu pengundi muda


Salhan K. Ahmad

Calon Pejuang Rostam Mustapha mendekati pengundi di Sidang Kopi, lokasi tumpuan utama anak muda Lipis. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

SEBUAH komputer Fujitsu tahun 2010 dengan skrin rosak yang terlentang di ruang kerja utama pejabat Pejuang Lipis memerikan tahap sumber pergerakan itu dalam kempen PRU15.

Komputer yang dirangkai ke sebuah televisyen LCD dari era sama itulah yang digunakan jentera parti ini untuk membikin bahan kempen bagi bertanding kerusi Lipis dan dua DUN di situ.

Pengurus kempennya Firdaus Abdillah Hamzah memberitahu The Malaysian Insight, ia antara lain digunakan untuk menghasilkan poster untuk calon mereka Rostam Mustapha dan Aishaton Abu Bakar.

“Cuma untuk edit video saya pinjam iPad kedai. Tunggu kedai tutup baru ambil iPad,” katanya yang mengusahakan Sidang Kopi, sebuah kedai kopi popular di kalangan anak muda Lipis.

Kekangan sumber itu membuatkan Pejuang Lipis tidak ubah seperti beliung memandang kempas berdepan lawannya Umno yang tidak pernah kenal erti tewas di kawasan tersebut.

Sewaktu Firdaus diwawancara di sebuah restoran masakan tomyam berhampiran kedainya, satu konsert besar anjuran BN sedang berlangsung dihadiri ribuan pengunjung di Dataran Lipis.

Sejak petang lagi kawasan itu sesak dengan pelbagai acara termasuk perasmian oleh Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang tiba dengan helikopter.

Jika dilihat jumlah kehadiran di acara tersebut, BN yang meraih hampir 14,000 dari keseluruhan lebih 35,000 undi Lipis pada 2018 mungkin dapat mengulangi prestasi sama.

Tapi bezanya kali ini, 50% pengundi terdiri dari pengundi muda termasuk pengundi baharu yang menjadi sasaran kempen Pejuang Lipis.

Tumpuan ini ditegaskan dalam video kempen mereka yang hanya dapat disiapkan untuk edaran selepas kempen masuk minggu kedua.

Bahan kempen itu disebarkan dengan menggunakan bahasa bersahaja dan lelucon di media sosial.

“Saya banyak majukan dalam kumpulan WhatsApp. Di Twitter juga banyak tontonan,” kata Firdaus yang turut membuka akaun TikTok khas untuk Rostam.

Jentera Pejuang Lipis yang tidak pernah berpengalaman menyertai pilihan raya ini meraih gelaran “gerila yang menghiburkan” oleh lawannya.

Rakaman video kempen Rostam Mustapha dijalankan di kedai buku kendaliannya. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Ulasan disiarkan laman Facebook kendalian BN Lipis itu jelas menganggap mereka bukan lawan yang serius.

“Pejuang pula meneruskan kempen ala serangan gerila yang tidak terlatih. Menjadi penghibur dalam siri kempen kali ini.

“Hasrat BN untuk mengekalkan kemenangan di bumi Lipis semakin meyakinkan,” coret pergerakan itu sewaktu merakam kejayaan kempen mereka setakat seminggu.

Mengulas kritikan itu, Rostam mengakui BN mungkin dipandang lebih berkeupayaan oleh pengundi kerana dilihat banyak dana.

“Untuk psikologi orang luar bandar, parti yang banyak duit ialah parti yang mampu menjaga keamanan, sampai kerosakan dari rasuah nampak tak besar sangat impaknya.

“Walaupun rasuah, masih boleh bagi gula-gula berterusan,” katanya yang juga sedar bantuan yang diagihkan parti tersebut semasa kempen sememangnya mempengaruhi pengundi.

Katanya, beliau menyertai Pejuang dengan kesedaran sebagai parti baharu dengan peluang yang cukup tipis untuk memenangi apa-apa kerusi.

Rostam juga sedar dengan cabaran bergerak tanpa dana besar, tanpa jentera dan anggota akar umbi, selain pengaruh pengasasnya Dr Mahathir Mohamad yang tidak seperti dulu.

“Tapi sebagai parti baharu yang segar, tentulah kelebihannya Pejuang tidak korup,” katanya.

Ditanya mengenai idealisme nasionalisme Melayu Pejuang, bekas jurutera kimia itu tidak melihatnya sebagai beban selagi parti itu kekal dengan fahaman moderat.

Kempen Rostam menggariskan tiga sasaran – menjadikan Padang Tengku mantap untuk didiami, membina karier dan untuk sosial serta sahsiah orang muda.

Pengurus kempen Firdaus Abdillah Hamzah (kiri) berbincang dengan calon Pejuang Rostam Mustapha (kanan) di pejabat penyelaras pergerakan itu.  – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Dalam manifesto tersebut, Rostam antara lain mahu menyediakan peluang bagi anak muda kekal bekerja di Lipis dengan meraih gaji bermaruah dan mendapat bimbingan keusahawanan.

Manifesto ringkas itu juga menyebut beliau mahu membuka kemudahan sukan moden, ruang acara, pameran dan tapak niaga.

Selepas minggu pertama kempen, beliau dapat mengenalpasti pusat daerah mengundi yang menunjukkan reaksi positif dan dapat ditumpukan sehingga akhir kempen malam ini.

Tapi tumpuan utamanya tetap pengundi muda segmen 18 hingga 39 tahun yang sudahpun ramai pulang hari ini untuk membuang undi.

Rostam menentang Ruzi @Nata Yusuff dari PH, Mustafa Long dari BN dan juga Khaider Kamil dari PN.

Seorang lagi calon Pejuang, peguam Aishaton Abu Bakar bertanding kerusi Parlimen Lipis untuk mengalahkan penyandang Abdul Rahman Mohamad dari BN.

Antara pencabar kuatnya Shahrum Osman, bekas penyandang kerusi itu selama tiga penggal sejak 2004 yang kini menjadi calon PN.

Seorang lagi calon Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dari PH yang merupakan penyandang kerusi Raub dan kini turut bertanding kerusi DUN Tras.

Aishaton juga bertanding kerusi DUN Cheka, kerusi bermasalah BN yang turut ditandingi Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Aishaton melihat BN bermasalah di situ kerana masih meletakkan calon MCA, Ho Fong Mee di Cheka.

“Ia mewarisi beban lama BN, ini yang akan pengundi tolak,” katanya ketika ditemui di Kerambit, salah satu pusat daerah mengundi Cheka.

Dalam pilihan raya lalu, penyandang kerusi tersebut Lee Ah Wong dari MCA hanya meraih kelebihan 202 undi berbanding pencabar terdekat dari PAS. – 18 November, 2022. 

Aishaton Abu Bakar bertanding kerusi Parlimen Lipis untuk mengalahkan penyandang Abdul Rahman Mohamad daripada BN. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen