BN pecah, PAS paling untung di Pahang


Salhan K. Ahmad

Faktor perpecahan dalam BN di Pahang membolehkan PN menjangka lonjakan sokongan menang sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

ANGKA yang semakin memihak PN dalam kempen di Pahang setakat ini menunjukkan PAS paling beruntung dengan mengalihkan sokongan pengundi Melayu dari BN dan PH.

Faktor perpecahan dalam BN di Pahang juga membolehkan PN menjangka lonjakan sokongan untuk menang sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen.

Ia meyakinkan PN untuk mengekalkan lapan kerusi termasuk Beserah (dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota), Tanjung Lumpur (Kuantan), Panching (Paya Besar) dan Jengka (Kuala Krau)

Kemaraan dan peluasan kuasa PN di Pahang, khususnya melalui PAS diakui jentera lawan yang melihat gabungan dua parti Melayu tersebut semakin selesa di kerusi luar bandar.

Pemerhatian ini selari dengan dapatan badan tinjauan Merdeka Center yang melihat sokongan kepada PN terus meningkat dan akan parti itu dapat mengatasi jumlah kerusi BN dan Umno.

Pengarah programnya Ibrahim Suffian dilaporkan berkata, PAS akan menjadi pemenang sebenar dengan peningkatan sokongan kepada PN dalam PRU15.

“PAS dijangka menyapu kesemua kerusi yang mempunyai sekurang-kurangnya 70% hingga 80% pengundi Melayu.

Mengulas trend di Pahang, pengerusi PN negeri itu Saifuddin Abdullah memberitahu The Malaysian Insight sokongan secara umum semakin naik disebabkan penerimaan umum.

Salah satu penarik khusus pula faktor Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang diumumkan sebagai calon menteri besar Pahang bagi gabungan itu.

“Faktor menolak pula sebab BN berpecah dan banyak masalah dalaman,” kata penyandang kerusi Indera Mahkota itu sewaktu ditemui di salah satu pusat daerah mengundi kawasan tersebut.

Saifuddin memberi contoh kerusi Parlimen Maran yang bermasalah besar selepas penyandangnya Ismail Muttalib dari BN bertanding sebagai calon PN apabila tidak disenaraikan sebagai calon parti.

PAS dijangka menjadi pemenang sebenar dengan peningkatan sokongan kepada PN dalam PRU15, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

Jelasnya, tindakan itu banyak menguntungkan PN kerana Ismail digemari pengundi atas perkhidmatannya yang baik di kerusi itu.

“Maran ada tiga DUN. Dua kerusi PAS sudah pegang dan yang lagi satu itu kita sedang usahakan,” kata Saifuddin.

Kerusi Luit dan Chenor dalam Maran dirampas PAS buat kali pertama pada 2018, masing-masing dengan majoriti amat tipis 214 dan 514 undi.

Bakinya, Kuala Sentul dipertahan ketua bahagian Umno kawasan tersebut, Shahaniza Shamsudin bagi BN dengan majoriti sekitar 2,000 undi.

Perpecahan dalam struktur dan jentera itu disahkan Umno hujung minggu lalu yang mengesan sabotaj dan mengumumkan penggantungan ketua Wanita bahagian Fatimah Kassim.

Tindakan sama diumumkan bagi Ketua Wanita Umno Arau Shamsiah Yasin berkaitan kes penyandang Shahidan Kassim bertanding sebagai calon PN di kerusi itu.

Umno dalam kenyataannya mengumumkan menerima aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-duanya menyokong calon parti lawan.

Mengulas faktor Tuan Ibrahim, Saifuddin yakin PN mampu menembusi kubu BN Lipis dengan memenangi kawasan DUN Cheka yang kini masih dikawal MCA.

“Penerimaan di Cheka sangat baik,” jelas Saifuddin merujuk kerusi yang bermasalah bagi BN itu.

Cheka hanya dimenangi BN dengan kelebihan 202 kerusi, majoriti paling rendah diterima parti itu di antara kesemua 24 kerusi DUN Pahang yang dikawal dalam PRU14.

Selain Cheka dan Kuala Sentul, Saifuddin mengesahkan tiga lagi kerusi memihak kepada PN pada waktu ini – Guai, Kuala Semantan, dan Pulau Tawar.

Guai salah satu dari tiga DUN dalam kawasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerusi Parlimen Bera.

Calon PN Nor Hashimah Mat Noh berdepan dua lawan sejantina Noraini Abdul Ghani dari PH dan juga Sabariah Saidan yang menggantikan penyandang dua penggal bagi BN.

Seorang lagi calon bebas Jafari Mohd Yusof juga bertanding untuk merebut kerusi yang dimenangi BN pada 2018 dengan majoriti lebih kurang 3,200 undi itu.

Satu lagi kerusi DUN dalam kawasan perdana menteri, Triang sudahpun menjadi kerusi tradisi DAP dan dikuasai parti itu sejak enam penggal.

Di kerusi DUN Kuala Semantan dalam kawasan Parlimen Temerloh, calon PN Hassanudin Salim bertemu Nor Azmi Mat Ludin yang menang tahun 2018 dengan majoriti cuma 474 undi bagi BN.

Kejayaan PAS merampas dua kerusi DUN dalam Jerantut – Damak dan Tahan pada 2018 pula menambah semangat PN untuk merebut Pulau Tawar kali ini – kerusi negeri terakhir di situ.

Dalam PRU14, penyandang dari BN Nazri Ngah hanya mengutip majoriti 587 undi di Pulau Tawar, di tangga ketiga paling corot dalam senarai kerusi dimenangi parti itu.

“Tentulah satu lagi kerusi yang kita lihat, Jerantut. Dua kerusi PAS sudah pegang. Sekarang calonnya (Yohanis Ahmad) dari PAS ada peluang yang baik untuk menang,” kata Saifuddin.

Beliau meletakkan keyakinan tinggi walau PN berdepan pertandingan lima penjuru di kawasan pilihan raya terbesar Pahang itu.

Beberapa orang lagi anggota unit kajian PAS yang ditemui semasa aktiviti kempen Saifuddin di Indera Mahkota ceria sewaktu berkongsi dapatan masing-masing dengan The Malaysian Insight.

Sikap dan bahasa badan berbeza pula ditunjukkan jentera BN ketika ditemui di satu acara parti di ibu pejabat pergerakan tersebut di Lipis.

Anggota jentera BN dilihat tidak bersedia untuk bertukar maklumat manakala penyandang kerusi Parlimen tersebut Abdul Rahman Mohamad enggan ditemubual.

Seorang anggota jentera BN Lipis bagaimanapun mengakui parti tersebut berdepan kesukaran untuk mempertahankan Cheka dengan calon baharu dari MCA, Lee Ah Wong.

“Kita akui memang bergelut di Cheka sebab calon bukan calang-calang orang, dia timbalan presiden PAS. Kita akan beri lebih perhatian di Cheka,” katanya yang tidak mahu dinamakan.

Ditanya mengenai prestasi di Benta, satu lagi kerusi DUN dalam Lipis yang hanya dimenangi dengan majoriti 340 undi pada 2018, sumber BN itu tidak melihatnya sebagai kerusi bermasalah.

“Setakat ini kita risau Cheka sajalah,” katanya.

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pula menganggap PN hanya mempamerkan keyakinan apabila mendakwa akan dapat mengambil alih Pahang.

“Biasalah, dia mesti kata yakin. Macam saya juga yakin Pahang akan dipertahankan,” katanya yang juga ditemui di Lipis.

Menteri besar Pahang itu tidak dapat memberikan data jelas mengenai kekuatan partinya setakat kempen yang sudah separuh masa berlalu, namun percaya ia semakin memihak ke BN.

“Graf kita semakin meningkat hinggalah ke hari pengundian, insya Allah… Kita pun tak ada bacaan tepat, agak-agak sahaja,” katanya.

Sumber PH turut mengakui PAS semakin berpengaruh, terutama di kawasan luar bandar dan juga tanah rancangan Felda.

Sumber DAP Pahang berkata, mereka tidak lagi mendapat sokongan pengundi di kawasan tanah rancangan yang memilih PAS sewaktu bersama mereka dalam Pakatan Rakyat.

Beliau memberi contoh pemerhatian jentera parti itu ke atas perubahan sikap pengundi Melayu di kawasan rancangan Tersang dalam DUN Batu Talam dan Klau dalam DUN Tras.

“PAS mungkin kuasai Tersang dan Klau. Mereka sudahpun menang Jengka di Kuala Krau,” kata sumber yang memberi jangkaan DAP dapat mengekalkan semua kerusinya.

Mereka melihat PAS berjaya merebut undi dari Umno dan kini merampas kembali 30% undi Melayu selepas menyumbangkan 40% undi dari segmen tersebut untuk Pakatan Rakyat.

“PAS juga pecahkan undi dari Umno. Lebih dari 20% undi Melayu dari Umno akan pergi ke PAS,” katanya lagi yang melihat tiga kerusi sukar bagi PH – Damak, Sabai dan Cheka.– 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen