Ismail Sabri mahu 5 tahun lagi untuk perbaiki keadaan


Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menerajui negara pada masa yang sangat mencabar, tetapi masih berjaya menyelesaikan banyak isu yang timbul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

MEMBAWA Malaysia ke arah kemakmuran yang lebih besar dan menamatkan perpecahan politik adalah janji Ismail Sabri Yaakob jika beliau diberi tempoh lima tahun lagi sebagai perdana menteri.

“Saya pernah menjadi perdana menteri untuk semua dan saya akan terus menjadi perdana menteri untuk semua.

“Kita tidak nampak sebarang polemik isu agama dan perkauman sejak kebelakangan ini. Ini penting bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

“Saya berjaya menguruskan banyak isu yang timbul. Saya melakukannya dalam tempoh singkat saya memimpin negara.

“Beri saya lima tahun lagi dan saya akan dapat melakukan lebih banyak lagi,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan pada malam Selasa, lapor NST hari ini.

Beliau juga berkata rakyat sudah menerima konsep Keluarga Malaysia beliau, yang diperkenalkan tidak lama selepas menjadi perdana menteri sebagai elemen untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ismail Sabri menambah yang beliau berkuasa “pada masa yang sangat mencabar, tetapi masih berjaya menyelesaikan banyak isu yang timbul”.

“Tiada siapa yang cuba menjatuhkan saya,” katanya.

Ismail Sabri juga berjanji untuk mengurangkan saiz Kabinetnya dan membawa masuk teknokrat dan lain-lain berdasarkan kemahiran tertentu.

Ismail Sabri ialah calon perdana menteri Barisan Nasional. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen