Pembangunan keusahawanan kunci untuk pacu ekonomi luar bandar, kata PM


Ismail Sabri gesa usahawan luar bandar tingkat pencapaian ke tahap lebih tinggi guna kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

KERAJAAN terus memberikan tumpuan kepada sektor keusahawanan yang merupakan antara elemen penting untuk memacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk luar bandar, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kejayaan dalam konteks pembangunan infrastruktur di luar bandar, namun bidang ekonomi masyarakat luar bandar perlu diperkasakan.

“Kita mahu penduduk kampung kita menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan hanya aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau sebagai nelayan kecil bagi mereka yang tinggal di pinggir pantai.

“Usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang,” katanya semasa berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong di Bera hari ini.

Usaha memperkasakan masyarakat luar bandar itu juga, menurut perdana menteri adalah selari dengan matlamat aspirasi dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan “Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik” menjelang tahun 2030.

Selain itu, beliau berkata usahawan desa juga mempunyai potensi untuk berkembang menerusi penggunaan teknologi, yang membolehkan mereka memasarkan jualan produk secara dalam talian sehingga ke pasaran antarabangsa.  

Pada ucapannya, Ismail Sabri juga berkata pembangunan luar bandar menjadi keutamaan kerajaan, seperti yang dapat dilihat pada pembentangan Bajet 2023, iaitu peruntukan RM10.93 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), empat peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Peruntukan itu, menurut beliau adalah bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu bagi pembangunan luar bandar dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Mengulas mengenai mini karnival itu, Ismail Sabri berkata ia merupakan sebahagian daripada program pemasaran KPLB bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan mengadakan platform mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta.

Karnival selama dua hari bermula semalam itu, melibatkan penyertaan usahawan tempatan dan pelbagai agensi daripada KPLB, menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dengan nilai jualan RM100,000. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen