Ismail Sabri mesti pimpin Umno jika jadi PM selepas PRU15, kata KJ


ISMAIL Sabri Yaakob patut mengetuai Umno jika beliau menjadi perdana menteri semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memberi nafas baharu dan membersihkan parti, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan sementara itu berkata Umno akan mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya umum dan berkata Ismail Sabri serta Hishammuddin Hussien sehaluan dengannya mengenai perkara itu.

“Kalau beliau jadi PM, bila jadi PM, lepas hujung minggu ni, beliau mesti pimpin parti.

“Ismail, Hisham dan saya agak tegas di mana kami mahu membawa Umno untuk memastikan imej kami dipulihkan,” katanya kepada radio BFM hari ini.

Calon BN Sungai Buloh berkata beliau mahu melihat pemimpin muda dalam Umno menang di bahagian mereka dalam pemilihan parti akan datang dan menggantikan pemimpin lama.

Beliau berkata pembaharuan semula itu akan berlaku selepas pilihan raya umum dan bukan dalam tempoh lima atau sepuluh tahun.

Umno mesti mengadakan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan PRU15.

Mengenai perkara lain Khairy berkata kes mahkamah membabitkan pemimpin Umno tidak akan digugurkan sekiranya BN kembali berkuasa.

“Amat penting bagi pemimpin Umno seperti saya untuk menyatakan secara terbuka bahawa tidak akan ada campur tangan dalam proses kehakiman.

“Saya memberitahu Ismail Sabri ini mesti menjadi kedudukan kita apabila kembali berkuasa, sama seperti sebelum ini apabila beliau tidak campur tangan dalam proses kehakiman atau memikirkannya,” katanya. – 15 November 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen