Menang PRU15 keutamaan BN, kata Ismail Sabri


Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang penggabungan dengan mana-mana parti perlu diputuskan oleh parti dan bukannya diputuskan secara bersendirian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.   

KEUTAMAAN Barisan Nasional (BN) adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan daripada memikirkan gabungan atau jajaran yang akan dipilih dalam pembentukan kerajaan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata sebarang penggabungan dengan mana-mana parti perlu diputuskan oleh parti dan bukannya diputuskan secara bersendirian.

“Tidak boleh kata akan bergabung. Kita tidak tahu lagi. Keputusan penggabungan dengan sesiapa sekalipun parti mana sekalipun adalah keputusan parti.

“Kita perlu menang (PRU) dan kita boleh bentuk kerajaan. Sama ada bergabung atau tidak itu akan difikirkan. Tapi apa yang pasti seperti saya sebut semalam kerajaan akan dibentuk bersama parti dari Sabah dan Sarawak, kita tidak boleh terpisah,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama Keluarga Felda Lasah di Sungai Siput hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan PAS tidak menolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian dalam PRU15. 

Ismail Sabri berkata pelbagai andaian yang dimomokkan ketika ini berhubung jajaran atau gabungan bersama BN namun tidak mudah diputuskan.

“Sabah, Sarawak masih lagi sebahagian kerajaan Persekutuan. Kononnya ada orang kata jajaran baharu dengan Pakatan Harapan (PH), ada kata balik dengan PN, itu semua selepas pilihan raya…kita cross jambatan dulu kemudian buat keputusan. 

“Untuk membuat keputusan pun bukan secara sendirian kita mungkin panggil pasukan khas untuk apa saja keputusan besar seperti penggabungan dan sebagainya,” kata beliau.

Ismail Sabri dalam pada itu mahu calon-calon BN perlu kekal fokus untuk menang pilihan raya di kawasan masing-masing selain mengurangkan polemik sesama parti komponen dalam menuju ke hari-hari terakhir berkempen sebelum tibanya hari pengundian Sabtu ini.

“UMNO dan BN sangat kuat. Akhirnya semua mereka yang tidak bertanding atau tidak tercalon, akan bekerja untuk pastikan kita menang. Kita perlu gerak ke depan untuk menang, itu fokus kita, yang lain-lain itu nanti dulu,” kata beliau. – Bernama, 15 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen