Rayuan Peter Anthony berhubung sabitan, hukuman didengar 27 Januari 2023 


Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony berdpan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2022.

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 27 Januari untuk mendengar rayuan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Peguam S. Devanandan, yang mewakili Peter, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah ketika pengurusan kes itu, hari ini.

“Pendengaran rayuan itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dan pihak pendakwaan dan pembelaan diminta untuk memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 13 Januari 2023,” katanya ketika dihubungi.

Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah.

Sementara itu, rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang membenarkan permohonan Peter bagi menggantung hukuman dan sabitan terhadapnya akan didengar Rabu ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – Bernama, 14 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen