AHLI politik Sabah Peter Anthony ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung rusuhan di luar pusat penamaan calon kerusi Parlimen Tenom semalam, kata polis negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah bagaimanapun berkata Adun Melalap itu dibebaskan pagi ini.
Peter juga adalah presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
“Siasatan berjalan lancar dan Peter dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” kata Idris dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 24A (2) Akta Pilihan Raya 1954, yang melarang orang ramai daripada menunggu atau berada dalam lingkungan 100m dari perimeter pusat penamaan calon.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dilaporkan semalam kira-kira 300 penyokong Peter cuba menyerbu pusat penamaan calon selepas pegawai pilihan raya menolak kertas pencalonannya kerana mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.
Klip video tular di media sosial menunjukkan orang ramai meluru masuk ke pusat penamaan calon dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang membawa bendera tertera logo parti.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei mendapati Peter, bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, bersalah kerana memalsukan surat untuk kerja penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrik di Universiti Malaysia Sabah, dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dikenakan RM50, 000 denda.
Bagaimanapun, Peter memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dan sabitannya, yang dibenarkan oleh mahkamah sama pada 1 Ogos. – 6 November, 2022.
Komen